KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran kepada penyebar berita palsu berkaitan Covid-19 yang mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang meskipun telah memohon maaf dan memadamkan apa juga bentuk hebahan yang telah dikongsikan di media sosial.
Sebaliknya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis berhak untuk mengambil tindakan terhadap artikel palsu yang telah dipadamkan.
“Kita dengar baru-baru ini ada seorang individu yang mengeluarkan berita palsu selepas itu meminta maaf dan padamkan postingnya tetapi saya difahamkan pihak polis juga memanggil individu tersebut untuk disoal siasat.
“Jangan fikir muat naik, kemudian minta maaf padam. Itu tidak menyelesaikan masalah kerana tindakan masih boleh diteruskan dan pihak polis akan meneruskan tindakan kepada sesaiaoa sahaja tidak kira sama ada melalui media sosial, portal media dan sebagainya jika perkara ini berlaku pihak polis tidak akan berkompromi.
“Jangan melakukan perkara yang boleh menyusahkan diri sendiri yang akhirnya akan ditanggung oleh diri sendiri,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sehingga kini, Ismail Sabri memaklumkan pihak polis dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 217 kertas siasatan, 162 masih dalam siasatan manakala 23 sudah dituduh di mahkamah.
Daripada 23 yang telah dituduh itu empat telah mengaku salah, katanya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memuatnaik status gempar apabila mendakwa berlaku keadaan tidak terkawal di bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kemudian segera menafikan penularan video tersebut.
Fuziah tidak lama kemudian memadam postingnya dan membuat permohonan maaf dan mengakui yang dimuatnaiknya adalah video lama.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskam, hanya lebih kurang 200 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura pulang ke tanah hari setiap hari.
Berdasarkan jumlah kemasukan harian daripada Singapura ini, beliau berkata, hanya 10 peratus sahaja rakyat Malaysia yang pulang setiap hari.
“Setakat hari ini, kita lihat bahawa tidak ramai rakyat kita yang masuk ke Tambak Johor ke Johor Bharu yang datang dari Singapura.
“Walaupun angka harian menunjukkan kemasukan daripada Singapura 1,900 hingga 2,000 satu hari, tetapi 90 peratus daripada kemasukan itu adalah melalui mereka yang terlibat dengan perkhidmatan logistik iaitu yang menghantar barangan segar daripada Malaysia ke Singapura
“Setakat ini tidak ada lagi kemasukan besar-besaran dari Singapura kerana kita percaya mereka masih lagi bekerja di Singapura,” katanya.
Ujarnya kerajaan Singapura telah memberi jaminan rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dijamin tempat tinggalnya dan menerima bekalan makanan yang mencukupi.
Namun kerajaan tambah beliau tidak menghalang rakyat Malaysia dari luar negara untuk pulang ke tanah air namun wajib melakukan kuarantin di pusat yang disediakan.
“Seperti kita tahu ramai rakyat kita yang terkandas di India, kita juga membawa mereka pulang tetapi syaratnya mana-mana rakyat kita yang pulang dari luar negara kita akan kuarantinkan mereka secara wajib termasuklah daripada mana-mana sekalipun termasuklah dari Singapura.
“Katakan sekarang ada 20,000 pekerja kita di Singapura yang nak balik mungkin kita buat secara berperingkat 250 hingga 300 satu hari yang pulang, supaya kita boleh bersedia dari segi tempat untuk pusat kuarantin dan sebagainya,”katanya lagi.
Dilaporkan tiga rakyat Malaysia antara 386 kes baru positif Covid-19 yang dilaporkan di Singapura dan ia merupakan jumlah peningkatan harian tertinggi di republik tersebut setakat ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,918 kes.
Untuk rekod sejak awal April yang lalu, republik tersebut memperketat perintah kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan.- MalaysiaGazette