Home Pendapat Keimanan bersama Ramadan

Keimanan bersama Ramadan

Seorang pelajar menghafaz Al-Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2019

BULAN Ramadan adalah bulan yang penuh kemuliaan berbanding bulan-bulan lain yang mana harinya adalah hari yang paling baik, malamnya adalah malam yang penuh keberkatan, dan setiap detik di dalamnya adalah detik yang paling berharga. Syaitan pula akan dirantai dan dibelenggu pada bulan tersebut. Pada bulan Ramadan juga Allah Subhanahu wa-ta’ala menambahkan padanya rezeki yang sangat luas.

Bulan Ramadan disebut sebagai bulan taubat, bulan al-Quran, bulan pengampunan, bulan memohon doa, bulan beribadah, bulan ketaatan, bulan kesabaran, bulan melepaskan diri dari seksa api neraka dan bulan kejayaan mendapat syurga Allah Subhanahu wa-ta’ala.

Sesungguhnya puasa merupakan perisai yang menghalang kita terjerumus ke dalam api neraka dan menahan diri mengikut hawa nafsu. Di syurga nanti akan ada satu pintu yang dinamakan pintu Ar-Rayan yang tidak akan dimasuki daripadanya kecuali orang-orang yang berpuasa. Puasa merupakan kafarah dan pengampunan dosa serta mulut orang yang berpuasa di sisi Allah Subhanahu wa-ta’ala lebih wangi daripada bau kasturi.

Di dalam bulan Ramadan ulama meletakkan beberapa stesen untuk kita renung dan hayati bersama:

 Stesen pertama: Pencapaian Ketakwaan.

Allah Subhanahu wa-ta’ala telah mensyariatkan kepada hamba-Nya bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan adalah untuk mencapai ketakwaan kepada-Nya, firman Allah Subhanahu wa-ta’ala: “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah: Ayat 173).

Syeikh Abdul Rahman bin Sa’adi berkata dalam tafsir bahawa Allah Subhanahu wa-ta’ala berfirman )yang memberi makna puasa itu adalah suatu sebab yang besar untuk mencapai ketakwaan, kerana pada puasa itu kita melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa-ta’ala dan menjauhi larangan-Nya.

Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa-ta’ala baginya daripada makan dan minum, bersetubuh dan sebagainya, lalu cenderung mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala dan mengharapkan pahala dengan meninggalkan larangan-Nya, maka ini adalah daripada ketakwaan. Berpuasa juga seperti mana kebiasaan membawa manusia ke arah ketaatan dan ketaatan itu merupakan ikatan ketakwaan.

 Stesen kedua: Doa.

Daripada kelebihan bulan Ramadan ini adalah mustajab doa; hadith daripada Abi Hurairah radiyAllāhu ‘anhu daripada Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bersabda: Tiga golongan yang doanya tidak akan ditolak: Orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi (Hadith sahih, diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Ibn Majah, 1752).

Orang yang ketika ia berpuasa akan timbul rasa redha, rendah diri, dan merendahkan turutan hawa nafsu lalu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa-ta’ala dengan memperbanyakkan berdoa. Moga-moga doa dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa-ta’ala.

Stesen ketiga: Sabar.

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah peluang yang baik untuk menguatkan keinginan, keikhlasan, keazaman, dan menghilangkan sifat benci dan iri hati. Inilah bulan kesabaran, dan ganjaran sabar itu sangatlah besar seperti mana firman Allah Subhanahu wa-ta’ala: “…Sesungguhnya orang yang bersabarlah yang disempurnakan tanpa batas” (Surah al-Zumar: Ayat 10).

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dan kesabaran itu ada tiga jenis: 1. Kesabaran mentaati perintah Allah, 2. Kesabaran atas apa yang diharamkan Allah, 3. Dan sabar atas ketentuan Allah.” Dan telah terhimpun tiga jenis sabar ini di dalam puasa.

 Stesen keempat: Tilawah al-Quran.

Ramadan adalah bulan yang diturunkan al-Quran padanya yang memberi petunjuk dan penerangan kepada umat manusia. Firman Allah Subhanahu wa-ta’ala: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur” (Surah al-Baqarah: Ayat 185).

Sesungguhnya permulaan al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan adalah satu dalil yang menunjukkan kepentingan Ramadhan dari satu sudut, dan dari sudut yang lain menunjukkan kepentingan melazimi al-Quran, tilawah, menghafal, membaca tafsirnya serta mentadabbur, beramal dan mengaplikasikannya. Maka penurunan al-Quran adalah suatu nikmat yang besar dan suatu anugerah yang agung dari Allah Subhanahu wa-ta’ala kepada umat manusia. Oleh itu, siapa yang mengabaikan al-Quran tidak ada keuntungan bagi dirinya pada bulan Ramadhan.

Dari Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam adalah manusia yang paling lembut terutama pada bulan Ramadhan ketika malaikat Jibril ‘alayhissalām menemuinya, dan adalah Jibril mendatanginya setiap malam pada bulan Ramadhan, di mana Jibril mengajarkannya al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam orang yang paling lembut daripada angin yang berhembus” (Hadith Riwayat Bukhari).

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bertadarus bersama Jibril ‘alayhissalām sepanjang Ramadhan. Hadith ini juga sekaligus menunjukkan keutamaan membaca al-Quran pada bulan Ramadhan, sehingga para sahabat dan generasi setelah mereka banyak menyibukkan diri dengan al-Quran ketika datang bulan Ramadhan.

Oleh itu, kita hendaklah berusaha melaksanakan perintah puasa dengan penuh kesungguhan dan merebut keberkatan yang ada sewaktu bulan Ramadhan, agar kita tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa.

Oleh: Ustaz Muhammad Amir Sulaiman
Yang Dipertua (YDP) ABIM Cawangan Mesir