LONDON – Peledak utama Inter Milan, Romelu Lukaku memuji rakan sepasukan, Lautaro Martinez yang berjaya membentuk gandingan mantap bersamanya di jentera serangan pasukan tersebut dalam menghadapi musim 2019/20.
Duo penyerang ini telah berjaya menghasilkan 39 jaringan dalam semua kejohanan disertai kelab digelar sebagai I Nerazzurri itu yang menyaksikan Lukaku mencipta 23 gol dan Martinez dengan 16 jaringan.
Jumlah tersebut nyata menjadikan pasangan ini sebagai antara gandingan berbisa dalam kancah bola sepak Eropah pada ketika ini.
”Dia sangat menakjubkan dan benar-benar ‘ganas’. Dia beraksi sangat baik dan sentiasa meningkat,” ujar Lukaku memuji rakan sepasukannya itu.
Potensi hebat dimiliki pemain berusia 22 tahun kelahiran Argentina itu telah menarik minat Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Luis Suarez untuk bergandingan bersama Lionel Messi.
Namun, Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti percaya bahawa pemain muda itu akan terus kekal berada di bawah kendalian Antonio Conte selepas beliau tidak langsung menunjukkan tanda-tanda tidak gembira bersama kelab yang menghuni tangga ketiga Serie A itu. – MalaysiaGazette