Home Ekonomi MAS sambung semula penerbangan ke Sabah, Sarawak

MAS sambung semula penerbangan ke Sabah, Sarawak

Malaysia Airlines menerima 11 kelulusan ATR.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan telah meminta syarikart penerbangan, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia supaya menyambung semula penerbangan mereka dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, buat masa ini MAS telah menyatakan persetujuannya untuk menyambung semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu bermula minggu ini.

Penerbangan tersebut akan dilakukan sekali seminggu namun MAS sedia untuk meningkatkan kekerapan bergantung kepada permintaan.

Selain itu, anak syarikat MAS, MASwings pula akan menyambung semula operasi domestik dengan penerbangan di antara Miri dan Bintulu; Kuching dan Sibu; serta Sibu dan Bintulu.

“Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan seperti MAS, AirAsia dan Malindo untuk menghentikan operasi mereka ke Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Keputusan tersebut menurut Ka Siong adalah dibuat oleh syarikat penerbangan berkenaan berikutan masalah kekurangan penumpang dan pengurusan operasi kewangan akibat Covid-19.

Beliau juga menjelaskan, perkhidmatan kargo udara untuk membawa barangan keperluan dan perubatan juga tidak pernah dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penerbangan dari Kuala Lumpur-Kuching; Kuala Lumpur-Kota Kinabalu; dan Kuala Lumpur-Labuan terbang tiga kali seminggu ke destinasi-destinas tersebut. – MalaysiaGazette