Home Nasional Pesalah PKP fasa 3 akan ditahan reman sebelum dihadapkan ke mahkamah

Pesalah PKP fasa 3 akan ditahan reman sebelum dihadapkan ke mahkamah

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula esok akan diperketatkan dengan polis boleh menahan reman mereka yang ingkar, seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis tidak lagi akan bergantung kepada pengeluaran kompaun.

Katanya, ini kerana berdasarkan jumlah pengeluaran kompaun  yang meningkat masih belum berjaya memberi kesedaran kepada rakyat.

Ujar beliau, dengan penguatkuasaan baharu itu, polis berkuasa untuk menentukan sama ada pesalah perlu diberikan kompaun RM1,000 atau direman seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

“Tidak lagi tawaran kompaun dibayar masa dua minggu, saya percaya aggapan rakyat bila kena kompaun seperti dapat saman kereta, setengah tidak mahu bayar sampai bila-bila.

“Tetapi kali ini berbeza, kerana ramai yang kata tidak takut kompaun, Okay, mula esok tidak ada lagi kompromi kita akan ambil tindakan lebih keras daripada kompaun.

“Kita memberikan budi bicara kepada polis, ada kes tertentu yang mungkin polis gunakan budi bicara tidak perlu tahap dibawa ke mahakamah.

“Kita beri kuasa pihak polis untuk menentukan tapi fokusnya kalau dulu kita beri kompaun tapi kita tidak lagi meletak itu sebagai keutamaan.

“Orang tak takut semakin hari semakin meningkat jumlah yang dikenakan kompaun. Mungkin mereka akan direman, mungkin akan berada di lokap sehari atau dua hari,” katanya ketika sidang media.

Katanya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, mahkamah berkuasa menjatuhkan hukuman penjara tidah melebihi dua tahun (kesalahan pertama) atau lima tahun (kesalahan seterusnya) kerana mengingkari PKP.

Berdasarkan makluman pihak polis, Ismail mengakui tahap pematuhan masih tidak mencapai sasaran apabila dilaporkan semalam, ramai orang awam keluar dipercayai ke bank untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Jadi sebab itulah polis bersetuju, pematuhan itu masih lagi tidak sampai ke tahap yang kita sasarkan ramai lagi yang agaknya lupa atau sengaja lupa masih keluar seperti biasa” katanya.

Terdahulu beliau berkata, menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilakukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam telah  menahan 1,374 individu ingkar PKP, menjadikan jumlah tangkapan kumulatif seramai 9,090 individu dengan 4,036 kompaun dikeluarkan.

Selain itu sebanyak 49,394 pemeriksaan mengejut oleh pihak berkuasa telah diadakan di seluruh negara melibatkan 6,702 premis.

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 786 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 546,553 kenderaan,” katanya.

Manakala 427 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP, katanya. – MalaysiaGazette