RIO DE JANEIRO – Dua daripada Gabenor daerah Brazil yang sebelum ini menggesa negara ini untuk tidak melonggarkan sekatan pandemik Covid-19, disahkan positif wabak itu hari ini.
Kedua-dua gabenor itu ialah Wilson Witzel dari Rio de Janeiro dan Helder Barbalho dari utara Para itu mahu Presiden, Jair Bolsonaro tidak melonggarkan peraturan berkenaan dan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Witzel dan Barbalho menasihatkan rakyat negara ini untuk tinggal di dalam rumah sahaja.
Witzel memaklumkan dia mengalami sakit tekak, demam, malah sudah hilang deria baunya.
“Keputusan ujian menunjukkan positif, saya rasa lebih baik sekarang berbanding beberapa hari sebelum ini. Saya akan terus bekerja, tapi akan ikut semua nasihat doktor.
“Saya minta tolong semua untuk kekal duduk di rumah, wabak ini berjangkit dengan cepat dan tidak ada sesiapa yang terkecuali,” tulisnya.
Helder juga bernada sama turut merayu kepada masyarakat untuk duduk di rumah sahaja di rumah dan mengikut nasihat serta garisan panduan yang ditetapkan.
“Virus ini cepat berjangkit tanpa had usia mahupun kelas anda, semua berisiko, jadi duduk dalam rumah,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden Brazil ini pernah menganggap Covid-19 sebagai ‘selesema biasa’ dan amalan penjarakkan sosial akan menghancurkan ekonomi.
Setakat ini, Brazil telah merekodkan sebanyak 1,532 kematian dengan jumlah kes baharu semakin meningkat. –MalaysiaGazette