Home Politik PKR gantung keahlian Haniza kerana jumpa Azmin, Zuraida

PKR gantung keahlian Haniza kerana jumpa Azmin, Zuraida

Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Haniza Talha digantung keahlian parti itu atas alasan beliau menghadiri pertemuan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Azmin merupakan bekas timbalan presiden PKR manakala Zuraida pula menjawat jawatan naib presiden parti itu. Kedua-dua pemimpin itu meninggalkan PKR ketika konflik politik Februari lalu.

Terdahulu Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga turut dipecat daripada parti tanpa sebarang alasan dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Haniza dikenakan tindakan itu kerana mengadakan pertemuan dengan Azmin dan Zuraida di Hotel Sofitel, Damansara yang mana kedua-dua bekas pemimpin PKR itu telah dipecat oleh MPP pada 24 Februari ekoran dakwaan pengkhianatan kepada parti.

“Sehubungan dengan perkara di atas, dengan tindakan saudari itu maka MPP pada 21 Mac 2020 menggunakan perlembagaan parti Fasal 41.6 yang halaman 1 dari 2 memperuntukkan keanggotaan saudari digantung serta merta sehingga siasatan oleh Lembaga Disiplin parti.

“Sila ambil perhatian, bahawa dengan pegantungan ini, saudari tidak boleh membuat apa- apa kenyataan atas nama parti,” demikian tulis surat berkenaan kepada Haniza Talha.

Artikel berkaitan: Ratu Naga dakwa dipecat PKR tanpa notis dan alasan

Surat ni dikeluarkan pihak Lembaga Disiplin parti yang diketuai Datuk Ahmad Kasim.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan diangkat sebagai Ketua Wanita PKR pada 18 November tahun lalu bagi penggal 2018-2021. -MalaysiaGazette