Home Nasional Samsol redakan kerinduan, keresahan anak buah yang terputus kasih hampir 3 minggu

Samsol redakan kerinduan, keresahan anak buah yang terputus kasih hampir 3 minggu

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersiap sedia membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan penularanan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2020

BATU CAVES – Terputus kasih dengan ahli keluarga hampir tiga minggu sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, antara dugaan yang terpaksa ditempuh oleh beberapa anggota bomba.

tugas sebagai barisan hadapan dalam operasi sanitasi nyah cemar wabak Covid-19, ternyata pasukan keselamatan itu tidak sempat menjemput isteri dan anak-anak di kampung ketika tempoh PKP dilaksanakan.

“Ada anggota bomba berasa sedih kerana tidak dapat bersama keluarga. Ketika cuti persekolahan, ada anggota menghantar anak dan isteri ke kampung.

“Bila anggota bomba kembali bertugas, mereka tidak membawa anak dan isteri. Apabila sekatan jalan raya dibuat semasa PKP, mereka terpisah sekurang-kurangnya tiga minggu,” katanya kepada MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Ketua Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani

Sebagai ketua balai, Samsol tidak lepas tangan malah cuba menghilangkan kerinduan, rasa hiba dan gundah-gulana anggota dengan menceriakan mereka setiap kali operasi sanitasi dilakukan.

“Bagi anggota bomba di bawah saya di Gombak, Rawang, Selayang dan Batu Arang, selepas bertugas, kami akan saling berkongsi cerita tentang perasaan mereka setiap hari.

“Masing-masing dikehendaki bercerita apakah perasaan lebih-lebih lagi tidak dapat bersama keluarga sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

Selain itu, pihaknya ada memberikan cuti secara bergilir-gilir kepada setiap anggota bomba yang bertugas khususnya dalam sekatan jalan raya (SJR).

“Kita juga beri pelepasan kepada anggota yang bertugas sehari atau dua berehat baru sambung kerja.

“Ini kerana anggota ini kita keluarkan daripada pasukan yang bertugas di balai bomba.

“Kini menjadi pasukan bertugas secara tetap untuk operasi sanitasi nyah cemar yang sentiasa kita lakukan sepanjang tempoh PKP ini,” jelasnya.

Dalam memastikan tahap kesihatan anggota bomba yang bertugas bebas daripada jangkitan Covid-19, beliau mewajibkan anggotanya menukar pakaian dan mandi sebelum pulang ke rumah.

“Selepas melaksanakan tugas di Lapangan, kita membuat nyah cemar pada badan sendiri menggunakan semburan sama untuk sanitasi itu.

“Kita perlu mandi sebelum balik ke rumah dan pastikan dalam keadaan bersih dan mereka balik ke rumah dengan pakaian lain, bukan pakaian yang digunakan sewaktu melakukan operasi.

“Setiap hari mereka akan salin pakaian sebelum balik ke rumah, begitu juga apabila datang ke pejabat menggunakan pakaian lain,” katanya.

Selain itu, makan secara bersama dengan anggotanya sebelum memulakan tugas boleh membantu meredakan emosi dan kerinduan khususnya mereka yang terputus hubungan sejak tiga minggu itu.

“Ada ahli keluarga yang mengirimkan makanan atau membawa bekal sewaktu pagi, apabila datang bertugas.

“Itulah juadah yang dapat kami makan bersama supaya dapat rasa gembira, tidaklah terasa sunyi kerana berjauhan daripada keluarga yang tidak dapat bersama sewaktu tempoh PKP ini,” katanya.

Samsol tidak menafikan beliau sendiri berasa gusar dan bimbang setiap kali pulang ke rumah bersama keluarga, lebih-lebih selepas bertugas di lapangan.

“Kita dapat keyakinan membuat langkah pencegahan untuk keselamatan. Setiap perkara kita lalukan itu dalam selamat, terkawal dan mengikut SOP.

“Sepanjang masa bersihkan tangan selepas sama ada menggunakan sanitizer ataupun sabun supaya tidak mencemari ahli keluarga yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette