LONDON – Seorang jururawat yang sarat mengandung sebelum disahkan positif wabak Covid-19 meninggal dunia selepas berjaya melahirkan seorang bayi perempuan di utara London.
Agensi melaporkan, keadaan bayi perempuan itu sihat dan baik bagaimanapun tidak dapat dipastikan lagi seandainya bayi itu positif Covid-19 atau sebaliknya.
Mangsa, Mary Agyeiwaa Agyapong merupakan jururawat di wad umum Hospital Universiti Luton dan Dunstable sejak lima tahun lalu.
Mary yang berusia 28 itu dipercayai telah disahkan positif Covid-19 pada 5 April lalu sebelum dimasukkan ke hospital.
Jururawat yang dianggap aktif dan periang itu dipercayai telah bekerja sebagai barisan hadapan sehingga 12 Mac lepas.
Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Amanah Bedfordshire, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), David Carter yang mengesahkan berita itu juga mengucapkan takziah kepada keluarganya.
“Mary telah bekerja dengan kita selama lima tahun, seorang yang berdedikasi dan amat disukai oleh semua. Seorang jururawat contoh dan hebat sebenarnya.
“Takziah kepada keluarga dan sahabat handainya yang sedang melalui fasa sedih ini,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu juga telah mencetus pertikaian serta perdebatan berpanjangan sejak beberapa minggu di United Kingdom yang kekurangan peralatan perindungan bagi barisan hadapan yang sedang bergelut melawan Covid-19.
UK ketika ini berada di tangga ke-6 dengan kes positif Covid-19 sudah menghampiri angka 100,000 manakala kematian pula mencecah 12,686 ketika ini. – MalaysiaGazette