KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial setakat jam 9 pagi tadi ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ke-3.
Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, kedua-dua laporan palsu kali ini melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
JKNNS hari ini menafikan laporan 8,000 orang penduduk dari lebih 20 taman perumahan di sekitar kawasan Sendayan diarahkan menjalani saringan Covid-19.
“Sebaliknya hanya mereka yang diarah oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban sahaja perlu menjalani saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, SKM pula menafikan kesahihan aktiviti pengumpulan maklumat peribadi orang ramai yang dijalankan oleh GC Berhad.
“Ini kerana koperasi tersebut tidak berdaftar dengan SKM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette