PUTRAJAYA – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengambil pendekatan merendah diri meskipun beliau diiktiraf sebagai tiga doktor terbaik di dunia.
Ketua Pengarah Kesihatan itu menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan untuk beliau, sebaliknya ia adalah untuk negara.
“Pengiktirafan itu bukan untuk saya tetapi untuk negara,” katanya.
Menurut Noor Hisham, KKM bekerjasama dengan semua kementerian dan agensi sebagai sebuah pasukan bagi memerangi pandemik Covid-19.
“KKM memberikan nasihat kepada kerajaan dan pastinya yang membuat keputusan bukanlah saya tetapi sebenarnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Misalnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami syorkan tetapi Perdana Menteri putuskan,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Noor Hisham turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha memerangi wabak itu.
“Terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sebagainya yang gigih mengawal sempadan negara.
“Penghargaan juga kepada mereka dan barisan hadapan kesihatan yang tampil ikhlas bekerja,” ujarnya.
Semalam, Stesen televisyen China, Global TV Network menganugerahkan ‘Wajah Paling Dipercayai’ kepada Dr Noor Hisham yang turut menyaksikan pakar kesihatan masing-masing dari Amerika Syarikat dan New Zealand iaitu Dr Anthony Fauci dan Dr Ashley Bloomfield tersenarai.
Dr Noor Hisham, 56, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013 dan berasal dari Kuala Lumpur, sememangnya mendapat kepercayaan penuh rakyat Malaysia susulan kekerapan beliau mengemas kini data situasi semasa keadaan Covid-19 menerusi media sosial dan sidang media. – MalaysiaGazette
Great doctor. May your good name held in honour in this world and in the sight of God. May God give good health and long life. You have made Malaysia proud at the international level. Keep up the good work!