Home Nasional Tahap pematuhan PKP di PJ menurun, harap sistem Aberdeen berkesan

Tahap pematuhan PKP di PJ menurun, harap sistem Aberdeen berkesan

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed diiringi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menyempurnakan gimik perlepasan kereta peronda pada Majlis Pelancaran Sistem Rondaan Aberdeen Kereta Peronda Polis MPV berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak penularan Covid- 19 di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2020.

PETALING JAYA – Tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan masyarakat di daerah Petaling Jaya kini sudah jatuh daripada 90 peratus kepada 85 peratus.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, perubahan menyedihkan itu dapat dikesan sejak tiga hari lepas bermula Isnin lalu.

Justeru beliau mengakui menyatakan sudah tiba masa polis bertindak secara serius terhadap ketidakpatuhan masyarakat sambil yakin pelaksanaan Sistem Rondaan Aberdeen sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat mencapai sasaran pematuhan.

“Pada awal pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu, sistem ini (Aberdeen) masih dalam kajian trend masyarakat dan mungkin tidak menampakkan hasil jika dilaksanakan ketika itu dan itulah sebabnya saya meletakkan anggota dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) di sekatan jalan.

“Sekarang kita dah masuk fasa ketiga PKP dan telah membuat kajian membaca trend masyarakat PJ dan hasilnya mendapati flactuate turun naik yang mana sekejap dipatuhi arahan sekejap tak ikut serius.

‘Maka saya dapati inilah masa sesuai deploy sistem Aberdeen dengan satu MPV (kenderaan pelbagai guna) peronda polis akan melibatkan tiga petugas polis dan tentera ke satu kawasan membuat tinjauan maksimum 45 minit sebelum beralih ke lokasi lain.

“Kita melakukan rondaan ini dengan lapan kenderaan MPV buat masa ini dengan sistem syif berganti enam jam bermula 8 pagi hingga 2 petang dan 2 hingga 8 malam,” katanya kepada pemberita ketika pemantauan bersama anggota peronda di kawasan komersial SS2 hari ini.

Tambah Nik Ezanee, pihaknya akan memantau peronda akan pejalan kaki yang berada di luar tanpa hala tuju dan sebab akan disoal dan diarah masuk rumah segera.

Menurut beliau, sebanyak 12 kawasan di utara dan 14 kawasan tertumpu di selatan PJ dikenalpasti dan akan dipantau oleh pasukan Aberdeen.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan masih ada orang ramai yang keluar dengan alasan yang remeh termasuk kerana mahu membeli makanan ringan.

“Saya nasihat dia supaya jangan keluar setiap hari sebaliknya beli barang keperluan untuk seminggu dan duduk rumah sebelum dia minta maaf dan beredar.

“Bila ada rondaan Aberdeen, masyarakat akan rasai kehadiran polis di kawasan tertumpu komersial, pasar dan pasaraya dan akan sedar polis serius dan tidak akan berkompromi untuk tangkap dan menuduh.

“Jika dalam tiga empat hari ini kajian mendapati Aberdeen berkesan kita akan menambah keanggotaanya dan mereka yang ingkar dan berdegil, pasukan yang akan turun selepas 8 malam akan buat tangkapan dan kita tidak akan kompromi hal ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis Selangor perkenal Sistem Rondaan Aberdeen kawal PKP