Home Nasional Tiada apa jua bentuk bazar Ramadan di WP

Tiada apa jua bentuk bazar Ramadan di WP

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung ataupun sebaliknya, tidak ada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia sudah dimuktamadkan pihaknya mengambilkira situasi semasa Covid-19 bagi mengehadkan pergerakan awam.

Dalam ciapan Twitternya, beliau turut mengesahkan dengan keputusan itu segala cadangan dan pelan alternatif yang dirangka pihaknya untuk kelangsungan para peniaga bazar juga terbatal sama sekali.

Tindakan itu, katanya, menyusul selepas mengambilkira pelbagai faktor serta situasi semasa Majlis Keselamatan Negara.

“Setelah mengambil kira pelbagai faktor dan situasi semasa, Majlis Keselamatan Negara memutuskan tiada apa jua bentuk bazar Ramadan termasuk drive thru, pack and pick,e-hailing yang dicadangkan sebelum ini,” katanya.

Lima hari lalu, Annuar merangkap Ahli Parlimen Ketereh juga pernah menegaskan pasukan khas akan mengkaji pelaksanaan bazaar Ramadan konsep baharu yang dirancang kementeriannya.

Malah katanya, keputusan itu akan diumumkan Khamis lalu keputusan dalam menentukan bazar secara konsep pandu lalu.

Annuar juga pernah menegaskan insentif RM500 akan diberikan kepada setiap penjaja yang menyertai konsep baharu perniagaan Ramadan sepanjang PKP.

Oleh kerana tiada bazar Ramadan tahun ini, maka perniagaan makanan berkonsepkan tiga kaedah iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil serta e-panggilan akan dilaksanakan.

“Pendaftaran itu akan dibuka pada 14 hingga 17 April ini. Kami memulangkan deposit untuk bazar Ramadan sebanyak RM120 sebelum ini dan akan beri insentif RM500 bagi setiap penjaja yang bersetuju mendaftar dalam program baharu ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette