KUALA LUMPUR – Aduan berhubung suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meningkat berbanding sebelumnya.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, sebelum ini, hanya lima aduan sebulan diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah melalui laman sosial Facebook rasmi BSK atau e-mel BSK negeri.
“Kali ini kita menerima lima aduan dalam masa lima hari,” katanya ketika ditanya Bernama mengenai jumlah bilangan aduan yang dikemukakan isteri atau bekas isteri, terhadap keengganan suami atau bekas suami memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak.
Katanya, aduan itu juga meningkat, selepas jabatan itu membuat iklan mengenai aduan boleh dibuat di Facebook rasmi BSK.
Mohd Na’im berkata setiap aduan yang dibuat seharusnya lengkap dengan nombor telefon atau e-mel yang dapat dihubungi, bagi tindakan lanjut pihak BSK.
Katanya, sekiranya suami atau bekas suami enggan membayar nafkah seperti mana yang telah diperintahkan, aduan pelanggaran perintah boleh dikemukakan kepada BSK, melalui laman sosial Facebook rasminya ‘Bahagian Sokongan Keluarga-BSK’ atau e-mel BSK Seksyen Negeri-negeri.
“Setiap aduan yang masuk akan disemak dan diproses oleh BSK.
“Suatu notis peringatan akan dikeluarkan kepada suami atau bekas suami, sebelum tindakan selanjutnya seperti runding cara, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah diambil oleh BSK, yang akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat,” katanya.
Mohd Na’im berkata selain menerima aduan menerusi Facebook dan e-mel, pegawai dari BSK seluruh negara turut mengambil langkah proaktif dengan menyantuni klien mereka bagi mengetahui masalah masing-masing dan berjaya menyantuni 437 klien dalam tempoh empat hari sejak Isnin lalu.
Katanya, berdasarkan peruntukan Mahkamah Syariah sedia ada, sekiranya suami atau bekas suami tetap ingkar memberi nafkah walaupun perintah telah dikeluarkan, mereka boleh dikenakan hukuman pemenjaraan, kerana dengan sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut.
“Mengikut prosedur untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah di Mahkamah Syariah, adalah seperti yang dinyatakan dalam Akta / Enakmen / Ordinan prosedur/ Tatacara Mal Mahkamah Syariah negeri-negeri.
“Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah boleh mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa, dan atau membayar jumlah tunggakan nafkah mengikut perintah dan cara yang ditentukan oleh mahkamah, sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan,” katanya.
Mohd Na’im berkata, Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak dan isteri.
“…atau mengenakan hukuman pemenjaraan ke atas suami yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut, atau perintah penyitaan dan penjualan atau laksanakan prosiding hiwalah,” katanya.
Hiwalah adalah memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan.
Menurutnya, sepanjang tempoh PKP atau sepanjang tahun ini, isteri atau bekas isteri yang gagal mendapatkan nafkah daripada suami atau bekas suami, boleh memohon dana pendahuluan atau bantuan nafkah dari BSK JKSM atau BSK JKSN.
“Medium e-mel bagi tujuan penghantaran borang boleh digunakan oleh pelanggan. Permohonan akan diproses oleh BSK dalam tempoh yang munasabah dengan mengambil kira tempoh kelulusan oleh jawatankuasa dan pemprosesan bayaran.
“Bentuk bantuan adalah pendahuluan nafkah dari BSK JKSM atau JKSN. Kemudiannya pegawai BSK akan mengutip semula dari suami atau bapa, dengan cara penguatkuasaan perintah nafkah terhadap mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
Asalamualaikum sya nak buat aduan bekas Suami x bagi nafkah anak yg berumur 18 thn. Dulu x bagi Saya boleh faham pasal x berkerje sekarang da kerja ada gaji pon pyah nak bagi.. Kalau x mintak
Bagaimana Maas pkp ni nak mintak bkas suami bagi nafkah anak..