Home Nasional Gelang ‘Loom Band’ penuh kasih sayang buat KP Kesihatan

Gelang ‘Loom Band’ penuh kasih sayang buat KP Kesihatan

KUALA TERENGGANU – “Gelang tangan ‘Loom Band’ untuk Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dihasilkan dengan penuh kasih sayang dan ia dibuat dengan mengambil ukuran tangan ayah.”

Kata-kata spontan itu dinyatakan oleh Lara Khadijah McAfee ketika ditemui Bernama, susulan suratnya kepada Dr Noor Hisham, dan surat balasan Ketua Pengarah Kesihatan itu tular di media sosial hari ini.

Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman itu berkata beliau menghantar gelang tangan dan surat itu pada 19 Mac lalu sebagai tanda penghargaan dan berterima kasih di atas pengorbanan Dr Noor Hisham dan pasukan barisan depan negara dalam memerangi penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Saya hasilkan gelang tangan ‘Loom Band’ itu dalam masa 19 minit dengan mengambil ukuran tangan ayah.… saya pilih tiga warna iaitu biru gelap dan biru cerah sebagai lambang kebersihan manakala warna putih sebagai lambang kesucian dan keikhlasan hati mereka dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia pada musim wabak COVID-19 ini.

“Saya berharap pemberian kecil gelang tangan berserta kata-kata terima kasih itu akan melonjakkan lagi semangatnya agar terus kuat, dan supaya rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada barisan hadapan negara dengan hanya kekal berada di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Seberang Takir di sini hari ini.

Anak bongsu kepada Pengarah Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Anuar McAfee, 55, dan Eksekutif Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Incorporated, Mutiara Jusuf McAfee, 46, itu sangat menggemari aktiviti seni yang berasaskan kemahiran dan banyak mempelajarinya daripada YouTube.

Sementara itu, Mutiara berkata surat itu adalah pengalaman pertama Lara Khadijah menulis kepada ‘orang besar negara’ dan berharap ia akan membantu anaknya itu memiliki rasa tanggungjawab dan prihatin dengan perkembangan semasa dunia.

“Ia adalah usaha kecil namun secara tidak langsung akan melatih Lara Khadijah agar menghargai jasa orang lain, peka dengan situasi semasa dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Secara jujurnya, saya sendiri tidak menyangka surat Lara ini akan menjadi tular kerana niat kami pada awalnya hanya mahu berkongsi rasa berterima kasih itu dan menzahirkannya melalui tulisan kepada Dr Noor Hisham dan pasukan.

“Apa pun saya berharap ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak perkara positif dalam kalangan rakyat Malaysia supaya kita semua terus bersatu hati dan mematuhi arahan kerajaan dalam berdepan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Dalam kesibukan tugasnya menangani isu-isu berkaitan COVID-19, Dr Noor Hisham dalam surat balasannya bertarikh 16 April menyatakan beliau amat menghargai kata-kata dan pemberian gelang Lara Khadijah, yang kini dipakai cucunya.

Menyatakan bahawa gadis itu dan rakyat Malaysia bersama-sama berperanan memutuskan rantaian penularan COVID-19 dengan duduk diam di rumah, beliau berharap Lara Khadijah tidak begitu bimbang dan yakin wabak COVID-19 yang melanda dunia kini akan berakhir tidak lama lagi.

Dr Noor Hisham berharap Lara Khadijah akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impiannya kerana suatu hari nanti akan tiba masa gadis itu membantu Malaysia.

Menandatangani surat dengan kata-kata “From your new friend, Dr Hisham.”, surat itu jelas menyentuh hati rakyat Malaysia yang rata-rata terkesan dengan sikap rendah diri doktor berusia 57 tahun itu.

Dr Noor Hisham, dalam mesej ringkas kepada Bernama mengesahkan bahawa ia adalah suratnya kepada Lara Khadijah, berkata: “Sekurang-kurangnya ini sahaja yang dapat saya lakukan untuk memberikan inspirasi kepadanya”.

Setakat pukul 7.30 malam ini, surat itu kini ‘trending’ di Twitter dan menerima lebih 44,000 kicau semula dan 45,000 ‘likes’, selepas ia dimasukkan ke laman sosial oleh abang ketiga Lara Khadijah, Iman Cullen Cornelius.

Iman Cullen Cornelius semasa dihubungi Bernama menggambarkan Lara Khadijah sebagai adik yang baik, petah berbicara, dan amat kreatif dalam setiap perkara.

“Dia mempunyai hobi untuk membuat gelang tangan ‘Loom Band’ sejak dua atau tiga bulan lepas. Dia juga suka membuat video tik-tok,” katanya.

Iman Cullen Cornelius menerusi twitter berkata Dr Noor Hisham juga sukakan ‘tweet’ beliau, dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Noor Hisham serta pasukannya terhadap dedikasi serta kerja keras mereka dalam mengendalikan penularan virus berbahaya itu.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Terima kasih Lara – Dr. Noor Hisham