CAPE TOWN – Peluang ketiadaan manusia yang melawat dan berada di Taman Negara Kruger telah memberi kebebasan kepada haiwan-haiwan buas di sini.
Jalan raya di kawasan itu yang selalunya sibuk dengan pelancong kini sepi susulan pelaksanaan sekatan perjalanan dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Taman Negara ini ditutup sejak 25 Mac lalu.
Situasi semasa itu memberi peluang kepada haiwan-haiwan buas seperti singa untuk tidur di atas jalan raya.
Renjer taman tersebut, Richard Sowry berkata, keadaan itu sungguh luar biasa kerana singa-singa ini biasanya kelihatan berada di atas jalan raya pada waktu malam sahaja terutama semasa musim sejuk.
Pada kebiasaannya, singa lebih suka berada atau menghendap di dalam belukar atau kawasan semak
Tetapi sekarang, jalan raya menjadi tempat pilihan singa-singa untuk tidur – malah tidur dalam keadaan begitu nyenyak sekali.
Sowry berkata, walaupun taman itu ditutup tetapi beliau masih meneruskan tugasnya memantau pergerakan haiwan-haiwan di taman negara tersebut bagi memastikan tiada pemburu-pemburu haram mengambil kesempatan.
“Saya memerhati kumpulan singa-singa dari jauh kerana haiwan ini biasanya melihat manusia di dalam kenderaan. Singa-singa ini ada naluri ketakutan jika melihat orang berjalan kaki. Jadi, saya memantau dari jauh,” katanya yang berkongsi gambar-gambar.
Beliau tidak menolak fenomena ini kerana singa-singa berasa selamat untuk berada di atas jalan raya tanpa ada kelibat manusia.
Katanya, sekatan perjalanan sekarang tidak memberi impak besar kepada pelakuan haiwan.
”Kruger adalah tempat yang sangat liar dan masih untuk haiwan-haiwan liar,” ujarnya.
Tetapi, kini haiwan itu menikmati kebebasan sepenuhnya. – MalaysiaGazette