Home Nasional 2,300 pegawai penguatkuasa KPDNHEP pastikan bekalan makanan mencukupi

2,300 pegawai penguatkuasa KPDNHEP pastikan bekalan makanan mencukupi

Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Seramai 2,300 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara ke atas barangan keperluan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi memastikan bekalan mencukupi dan tiada peniaga yang sengaja menaikkan harga atas alasan-alasan tertentu.

“Pemantauan bekalan dan harga dijalankan ke atas 25 jenis barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori itu meliputi kategori makanan kering (yang merangkumi gula, minyak masak, tepung gandum, beras, susu tepung, biskut, sardin, mee segera dan roti putih) dan barang segar (ayam, makanan sejuk beku, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar).

Kategori minuman (air mineral, malt coklat jenama milo dan kopi/teh) dan kebersihan dan kesihatan iaitu cecair pembasmi kuman (hand sanitiser), topeng muka, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa, paracetamol (panadol).

Menurut Alexander, sepanjang tempoh 18 Mac 2020 hingga 15 April 2020, pihaknya telah menjalankan 25,543 pemeriksaan meliputi peringkat runcit, borong dan kilang.

Katanya, hasil pemantauan mendapati kedudukan bekalan 25 barangan tersebut adalah mencukupi dalam pasaran.

“Kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah ke atas mana-mana barangan keperluan dalam
tempoh PKP, maka kementeriannya boleh pada bila-bila masa dalam tempoh PKP melaksanakan mekanisme kawalan harga sebagaimana Skim Harga Maksimum yang telah dilaksanakan semasa musim-musim perayaan sebelum ini.

Sekiranya terdapat penjual yang menaikkan harga barangan, para pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian itu melalui portal [email protected], pusat panggilan di talian  1800-886800, e-mel [email protected] dan aplikasi telefon pintar Ez ADU.

Aduan juga boleh dilakukan menerusi Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-88826245/6088, talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), membuat laporan dengan hadir di mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara. – MalaysiaGazette