
PUTRAJAYA – Bilangan kes baharu positif Covid-19 terus menurun iaitu 54 setakat pukul 12 tengahari tadi, menjadikan jumlah kes tersebut sebanyak 5,305 kes sejak kes pertama dilaporkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya merekodkan 135 kes yang telah pulih dengan jumlah kumulatif yang telah sembuh sepenuhnya adalah 3,102 kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid- 19 adalah 2,115 kes.
“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai 49 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian penularan Covid-19 hari ini.
Menurut Noor Hisham sebanyak dua kematian direkodkan dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 88 kes.
“Kes kematian ke-87 (kes ke-2657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 3.20 petang.
“Kes kematian ke-88 (kes ke-5252) merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Selayang pada 17 April 2020 dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru-paru Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI). Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada jam 10.00 pagi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette