Home Nasional PKP: JAWI laksana nikah atas talian pertama

PKP: JAWI laksana nikah atas talian pertama

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan majlis akad nikah secara atas talian yang pertama di Malaysia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis pernikahan pertama secara dalam talian yang membabitkan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29 dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29 itu dilakukan melalui sidang video dan ia disempurnakan dalam sekali lafaz.

Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi tadi, lapor AlHijrah Online.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.

Majlis yang disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Majlis nikah online itu selaras dengan ketetapan JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Antara negara melaksanakan nikah dalam talian ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emiriyah Arab Bersatu (UAE). – MalaysiaGazette