Home Nasional Permintaan terhadap ikan segar Nekmatbiz meningkat 100 peratus

Permintaan terhadap ikan segar Nekmatbiz meningkat 100 peratus

Sebahagian pembeli mendapatkan barangan keperluan asas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masuk hari ke-25 bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Selayang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Penjualan ikan dan makanan laut segar oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) melalui laman webnya www.nekmatbiz.com.my mencatat peningkatan 100 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, jika sebelum PKP, anggaran jualan secara dalam talian hanya di antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan, tetapi dalam tempoh PKP selama sebulan ini, NEKMAT telah mencatat jualan melebihi RM100,000.

“Setakat 18 Mac sehingga 15 April ini, sebanyak 5,983.72 kilogram ikan dan makanan laut telah dijual dengan jumlah transaksi sebanyak 1,007 diterima yang melibatkan nilai jualan mencecah RM122,972.39,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, peningkatan itu berlaku kerana pelanggan berdepan kesukaran untuk keluar mencari barangan basah seperti ikan di pasar dan mereka lebih selesa menggunakan platform pesanan secara dalam talian untuk membeli barangan tersebut.

Abdul Hamid berkata, selain menjual melalui kaedah mengambil pesanan secara dalam talian di laman portalnya, NEKMAT juga membuat jualan langsung ikan di media sosial iaitu Facebook dengan menggunakan khidmat utusan atau wakil (runner) di bawah seliaan persatuan itu.

“Bagi kaedah jualan langsung melalui Facebook, sebanyak 84,949.90 kilogram ikan telah dijual dengan jumlah transaksi sebanyak 19,256 melibatkan nilai jualan sehingga RM400,067.45,” katanya.

Abdul Hamid berkata, sehingga kini, NEKMAT mempunyai 40 runner yang akan bertugas setiap hari bagi menghantar ikan dan makanan laut kepada pelanggan yang membuat pesanan secara langsung di Facebook.

“Kami akan iklankan ikan segar yang akan dijual esok secara jualan langsung di Facebook NEKMAT pada malam sebelumnya di antara pukul 8 hingga 10 malam. Bila keluar sahaja, pelanggan boleh terus membuat tempahan kepada nombor telefon bimbit senarai runner yang disertakan di setiap hantaran di Facebook kami.

“Mereka ini ada yang menggunakan motosikal dan kereta. Bagi pesanan pelanggan melalui laman sesawang pula, kami ada empat runner iaitu staf NEKMAT sendiri yang akan menghantar hingga ke rumah pelanggan,” katanya.

Beliau berkata pelanggan juga boleh membuat aduan sekiranya harga ikan yang dibeli melebihi harga yang tertera di Facebook NEKMAT.

“Ini bermakna ada runner yang menaikkan harga dan itu salah sama sekali. Prosedur operasi standard kami tidak mengizinkan harga ikan dinaikkan oleh mana-mana runner di dalam senarai seliaan NEKMAT. Harga ikan tidak boleh dinaikkan tetapi caj runner mengikut kawasan mereka boleh ambil.

“Sumber ikan NEKMAT adalah daripada nelayan tempatan. Bagi jualan langsung, NEKMAT mendapatkan ikan dari daripada nelayan sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya sambil menambah bahawa persatuan itu mempunyai stok ikan sebanyak 50 tan metrik pada setiap masa.

Mengulas aduan penghantaran agak lambat bagi tempahan yang dibuat di laman sesawang NEKMAT, Abdul Hamid berkata, ia susulan permintaan melebihi kadar yang diterima oleh persatuan itu sebelum ini.

“Pada minggu pertama PKP, NEKMAT mendapat pesanan melebihi hari biasa sehingga mencecah 200 pesanan. Dalam keadaan PKP dengan pergerakan yang terhad, NEKMAT pada waktu itu mengalami masalah penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, NEKMAT telah mengambil langkah proaktif untuk mengupah runner persendirian yang berpengalaman bagi membantu penghantaran.

“Dengan langkah proaktif yang diambil, NEKMAT kini boleh menghantar pesanan dalam tempoh dua hingga tiga hari. Pelanggan juga mengakui ikan yang diterima lebih segar dan berkualiti,” katanya. – Bernama