KUALA LUMPUR – Beras, roti dan telur menjadi antara makanan yang mengalami kekurangan dalam pasaran pada masa ini.
Kekurangan itu bukan disebabkan oleh masalah stok tetapi permintaan yang sangat tinggi.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, beras dan telur merupakan antara makanan yang banyak dibeli oleh pelbagai pihak untuk dijadikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bayangkanlah, satu NGO membeli beratus-ratus bungkus beras, belum lagi kementerian atau agensi-agensi kerajaan, parti-parti politik dan orang perseorangan. Ini menjadikan beras dan roti sebagai hot item sepanjang PKP selain telur.
“Walaupun persatuan pengeluar telur menafikannya tetapi kekurangan ini memang berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ameer menjawab pertanyaan mengenai kekurangan barangan keperluan di pasar-pasar raya kecil dan kedai runcit.
Mengulas perkara itu, Ameer berkata, perkara tersebut memang sudah dijangkakan kerana fasa ketiga PKP hanya membenarkan orang awam keluar rumah dalam radius 10 kilometer sahaja.
Arahan tersebut bermakna orang ramai tidak boleh membeli-belah di pasar-pasar raya yang kebanyakannya terletak di tengah bandar atau jauh dari kawasan perumahan.
“Jadi apabila ramai orang bertumpu di kedai-kedai sama yang berhampiran taman-taman perumahan, sudah tentu bekalan cepat habis,” ujarnya.
Bagi menangani masalah yang samai, beliau mencadangkan pihak-pihak yang terlibat dalam menyalurkan bantuan makanan supaya memberi sumber makanan lain selain beras.
Memandangkan sudah banyak pihak menyumbangkan beras, ada baiknya golongan yang memerlukan itu diberikan minyak masak, tepung dan biskut. – MalaysiaGazette