Home Nasional PKP: Jumlah kemalangan jalan raya berkurangan 70 peratus

PKP: Jumlah kemalangan jalan raya berkurangan 70 peratus

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Datuk Azisman Alias (tiga kiri) bercakap pada sidang media berkenaan tren aliran trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19 oleh kerajaan sebenarnya mempunyai hikmah di sebaliknya.

Ini kerana menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, jumlah kemalangan mencatatkan penurunan hampir 70 peratus sepanjang PKP Fasa 1 dan 2 dengan 10,382 kemalangan sahaja dicatatkan di seluruh negara.

Azisman berkata, sebanyak 130 kemalangan maut melibatkan 145 kematian telah dicatatkan sejak bermulanya PKP sehingga 14 April lalu.

“Melihat angka-angka penurunan seperti ini, seperti hendak hari-hari PKP sahaja,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut Azisman, purata kemalangan bagi tempoh PKP fasa satu dan dua ialah sebanyak 370 kemalangan setiap hari jika hendak dibandingkan hari biasa hampir mencecah sehingga 1,500 kes malah ada hari tidak baik sehingglah 1,600 kes.

“Ini menunjukan penurunan hampir 70 peratus yang mana sebelum pelaksanaan PKP, kita juga merekodkan sehingga 16 hingga 17 maut daripada jumlah 1,500. Kini sepanjang PKP, kita merekod kes kemalangan maut antara empat dan lima,” katanya.

Azisman juga turut mendedahkan hampir 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan ketika PKP fasa satu dan dua ini membabitkan pengguna motosikal.

“Selangor mencatatkan angka paling tinggi membabitkan 33 orang, Johor sebanyak 19 orang dan selebihnya Perak dan Kedah. Itu empat negeri yang mencatatkan kemalangan maut tinggi,” ujarnya. –MalaysiaGazette