KUALA LUMPUR – Apabila disebut pesakit Covid-19, tergambar dalam fikiran kita video-video tular dari China yang menunjukkan manusia tiba-tiba tumbang di tempat awam.
Mereka kelihatan dalam keadaan mengerikan bagai dalam filem Resident Evil, menggelupur bagai diserang sawan, sesak nafas dan sebagainya.
Bagi Aida Mohamad, 49, seorang pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, dia juga pernah menonton video yang sama dan sentiasa memantau perkembangan berita terkini mengenai pandemik yang sudah meragut banyak nyawa di seluruh dunia.
Pada 11 Mac lalu, sebagaimana hari-hari sebelum ini, Aida menaiki bas yang sama berulang alik dari rumahnya di Parit Raja ke UTHM Pagoh.
Seperti biasa sejurus selepas itu, Aida bertemu adiknya, menghadiri kelas tempat dia mengajar dan bertemu rakan-rakan pejabatnya UTHM.
Bagaimanapun, dunia Aida tiba-tiba gelap seketika apabila menerima berita mengejutkan bahawa salah seorang rakan sekerja yang menaiki bas yang sama dengannya telah disahkan positif Covid-19 kerana menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.
Justeru Aida berasa risau dan mula meminta anaknya yang belajar di UMT supaya tidak pulang ke rumah dan tinggal sementara di rumah mentuanya di Melaka. Aida juga risau ibunya penghidap diabetes yang tinggal bersamanya.
Suami Aida yang bertugas di Universiti Teknikal Malaysia Melaka pula sempat pulang menemuinya tetapi Aida meminta suaminya, seorang lagi anaknya berusia 17 tahun dan ibunya yang berusia 73 tahun melakukan penjarakan sosial serta mengasingkan segala peralatan rumah yang digunakannya.
Aida kemudiannya melakukan pemeriksaan pada 16 Mac di hospital berdekatan dan disahkan positif Covid-19 keesokan harinya.
Perasaan bercampur baur antara takut, terkejut dan keliru kerana tidak memiliki sebarang simptom seperti demam, batuk, selsema dan sebagainya tetapi hati redha menanti apa yang bakal dihadapi.
“Agak aneh bila mengetahui ‘pembunuh senyap’ ada dalam diri kita tetapi kita tidak sedar kewujudannya, tiada sebarang simptom petunjuk dia (Covid-19) sudah ada,” katanya kepada wartawan
Sebuah ambulan tiba di perkarangan rumahnya pada 17 Mac lalu dan beberapa petugas lengkap berpakaian PPE turun mengiringinya untuk membawanya ke Hospital Permai.
Hatinya sebak kerana tidak boleh menyentuh suami, anak atau ibu andai kata itulah detik akhir dia bersama mereka.
Di benaknya, mungkin dia tidak akan pulang lagi menemui mereka kerana tiada siapa tahu apa bakal berlaku tetapi dari detik itu dia sentiasa memanjat doa.
“Saya berdoa moga Allah beri peluang kedua, untuk masih bersama keluarga dan berbakti kepada masyarakat. Wajah-wajah mereka silih berganti, syukur keluarga, pelajar dan rakan setugas negatif dalam ujian Covid-19. Mungkin sebab saya tiada simptom seperti batuk selesema yang menyebabkan penyebaran wabak dapat dikekang.
“Syukur keluarga, pelajar dan rakan setugas tiada yang dijangkiti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bagaimanapun, Aida sebelum ini menghidap darah tinggi dan daripada pembacaannya pesakit darah tinggi berisiko tinggi apabila dijangkiti Covid-19.
Setibanya Aida di Hospital Permai, dia disahkan demam dengan suhu 38 darjah sesius dan diberi ubat antibiotik, ubat selesema, cecair untuk kumur dan sabun nyahkuman.
“Saya ditempatkan di wad biasa bersama tiga lagi pesakit Covid-19. Terbit rasa keinsafan melihat ada lagi yang bernasib kurang baik dari apa yang saya lalui, ada isteri yang kehilangan suaminya dan anaknya juga positif Covid-19 serta ada keluarga yang enam ahlinya disahkan Covid-19 di wad yang sama” katanya.
Aida menambah, situasinya agak berbeza kerana demam sudah hilang selepas seminggu ditempatkan di wad tetapi disahkan positif menerusi dua kali ujian dilakukan.
Dia juga tidak dipakaikan alat bantuan pernafasan kerana tidak mengalami sesak nafas seperti pesaki Covid-19 lain.
“Ujian dilakukan setiap minggu dan keputusan sama diperoleh malah pada awalnya virus tidak merebak ke paru-paru tetapi pemeriksaan mendapati sudah ada kesan di paru-paru. Selepas empat minggu, baharulah dua kali ujian memberi keputusan negatif dan dibenarkan keluar pada 11 April tetapi perlu dikuarantin di rumah sehingga 25 April.
“Pulang semula ke rumah ibarat doa saya dimakbulkan Allah untuk mendapat peluang kedua, banyak hikmah di sebalik apa yang berlaku yang bukan sahaja mendekatkan diri dengan keluarga tetapi utamanya kepada Pencipta Yang Satu,” katanya.
Aida merakamkan terima kasih kepada pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Permai yang memberi perkhidmatan terbaik sepanjang dia dalam rawatan dan juga rakan-rakan yang telah memberi sokongan moral.
Sebagai bekas pesakit Covid-19, Aida menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial yang selamat dan membasuh tangan.
Selain itu, segera mendapat rawatan jika ada kontak dengan pesakit dan ada gejala Covid-19 selain jangan rasa takut apabila disahkan positif selian mendapatkan rawatan di hospital sebagai langkah terbaik dan selebihnya berdoa dan tawakal kepada Allah.- MalaysiaGazette