Home Nasional Wakil media perlu tunjuk pas jika ditahan sekatan PKP

Wakil media perlu tunjuk pas jika ditahan sekatan PKP

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Datuk Azisman Alias bercakap pada sidang media berkenaan tren aliran trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Rungutan serta keluhan segelintir petugas media yang kadangkala terpaksa berdepan ditahan dalam sekatan jalan raya ketika menjalankan tugas tidak lagi berlaku dalam Perintah Kawalan pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Ini kerana para petugas media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia sebahagian daripada kumpulan essential dan dibenarkan melalui laluan khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias menganggap kejadian di mana wakil media ditahan sebelum ini terpencil dan kini sudah tidak berlaku lagi pada PKP fasa ketiga.

“Itu hanya masalah komunikasi sahaja. Banyak aduan yang saya sendiri terima daripada media ketika awal-awal PKP, saya juga telah minta semua letakkan tanda ‘media’ pada laluan khas itu.

“Pada saya, kamu semua tolong kami, kami juga tolong kamu semua lagi ketika PKP ini.

“Saya juga ada dengar berlakunya pertengkaran, salah faham dan sebagainya tapi rasanya itu sudah bukan isu lagi.

“Anda semua boleh gunakan laluan khas itu, tidak perlukan dokumen tunjuk sahaja pas media kamu. Seperti kami semua ada pas pekerja Bukit Aman, saya pasti anda semua ada pas anda, cukuplah sekadar tunjuk pas kamu. Tidak ada masalah,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Azisman, saban kali ada mesyuarat dengan pihak atasan, semua maklumat akan disalurkan kembali kepada pegawai dan anggota bawahan bagi memastikan semua pengumuman serta garis panduan diikuti.

“Banyak anggota ini jujur dan lurus, itulah yang berlaku. Mereka kadang-kadang tidak tahu media juga di bawah sektor komunikasi kumpulan essential ini. Jika berlaku juga kes-kes seperti ini, anda semua boleh bercakap dengan ketua polis daerah (OCPD).

“Kita sentiada beri penjelasan serta pemahaman, kita selalu mesyuarat siang malam bagi mereka faham, tidak cukup dengan itu saya minta juga mereka baca suratkhabar dan tengok pengumuman terkini,” ujarnya. –MalaysiaGazette