Home Ekonomi ASNB benarkan pengeluaran dalam talian

ASNB benarkan pengeluaran dalam talian

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh membuat pengeluaran secara dalam talian untuk tabung-tabung unit amanah milik Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) kecuali ASN Sara 2 dan ASN Ekuiti 5 menerusi portal myASNB bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ASNB menjelaskan, pemegang unit dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah minimum sebanyak RM100 bagi setiap transaksi.

Bagaimanapun, kemudahan pengeluaran menerusi myASNB itu dihadkan kepada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.

Wang tersebut akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja yang berikutnya.

Bagi unit amanah harga tetap, waktu pengeluaran yang dibenarkan adalah mengikut waktu operasi sedia ada portal myASNB iaitu 7 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali cuti umum.

Manakala bagi unit amanah harga berubah pula, waktu operasinya adalah dari 7 pagi- 4 petang pada setiap hari kecuali cuti umum.

“Kemudahan ini bertujuan memberi lebih fleksibiliti kepada para pelabur dalam pengurusan pelaburan masing-masing dan pada masa yang sama, dapat memastikan mereka kekal fokus terhadap objektif pelaburan, khususnya bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan jangka panjang.

“Ini selaras dengan komitmen ASNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelabur, terutamanya dalam memastikan keperluan kewangan pelabur dapat dipenuhi pada setiap masa,” katanya.

Kemudahan pengeluaran dalam talian ini juga akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB bermula 27 April 2020.

Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899.