JUMLAH pesalah akibat pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dilihat menjangkau ribuan orang hingga ke hari ini samada yang dihadapkan ke mahkamah, dipenjara juga dikompaun. Senario ini membangkitkan persoalan tidak berkesankah undang-undang berkaitan PKP di Malaysia yang
melihat sejumlah besar pelanggaran PKP seperti pelanggaran undang-undang lalu-lintas nampaknya. Seperti dijelaskan pengamal undang-undang di Malaysia bahawa undang-udang berkaitan PKP ialah undang- undang Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan juga pelaksanaan di bawah Akta Polis 1967. Denda RM1000 dan penjara dikenakan bagi sabitan kesalahan tersebut. Bagi mengelakkan kesesakan di penjara maka hukuman penjara tidak digalakkan seperti disyorkan Majlis Peguam Malaysia.
Undang- undang yang dikuatkuasakan semasa PKP bukanlah sejenis undang-undang berkaitan darurat. Terdapat juga saranan bekas hakim untuk menaikkan kadar denda atas kesalahan PKP tersebut. Namun menurut hemat penulis, sudah tiba masanya strategi undang-undang di Malaysia di ubah ke arah yang lebih dinamik terutamanya yang melibatkan sains dan teknologi , sebagai contoh Undang-Undang Biokeselamatan 2007.Strategi penggubalan undang-undang terkini dilihat mengambil kira penglibatan masyarakat sebagai salah satu cara amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
Selain itu, penetapan tatacara seperti protokol kaedah pengurusan risiko sesuatu isu sebagai contoh pengimportan juga pengendalian bahan berunsurkan organisma hidup yang diubah (LMO) juga dilihat bagus kerana mengambil kira langkah berjaga-jaga dalam pengendalian. Sepintas lalu penulis melihat laman web Biosekuriti Australia yang mendakwa bahawa undang-
undang Biosekuriti Australia 2015 adalah antara yang terhebat kerana mereka mempunyai pelan respons kecemasan yang bagus juga hubungan antarabangsa yang berkesan dengan negara lain. Secara umumnya undang undang Biosekuriti Australia adalah bagi menjaga nyawa manusia, tumbuhan juga haiwan di Australia.
Di Malaysia, undang-undang biosekuriti secara khususnya berkaitan haiwan ternakan sahaja iaitu bagi mengawal penularan penyakit di kalangan haiwan. Ini mungkin berikutan penularan wabak virus JE di kalangan khinzir di Bukit Pelanduk suatu ketika dahulu. Jika kita melihat undang-undang berkaitan biokeselamatan pula di peringkat antarabangsa Protokol
Cartagena merupakan Protokol Utama mencakupi ruang lingkup biokeselamatan berkaitan alam sekitar sahaja. Manakala Protokol di makmal dikawal selia oleh protokol organisasi makmal masing-masing yang biasanya menurut amalan ‘standard’ antarabangsa.
Protokol Cartagena yang mengawal pergerakan LMO secara rentas negara dengan bertujuan bagi menjaga kemaslahatan kesihatan manusia dan alam sekitar. Protokol Cartagena secara tidak langsung menjaga kesihatan manusia akibat risiko pencemaran LMO. Berikutan dari Protokol Cartagena dilihat aspek kesihatan manusia tiada pendetailan yang jelas dan tertakluk kepada peraturan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa
(WHO). Biosekuriti pada peringkat antarabangsa pula lebih ke arah menjaga nyawa manusia dari senjata biologi juga kesan penggunaan yang seumpamanya. Di Singapura terdapat Biological Agents and Toxins 2005 yang mengawal LMO dan material yang berbahaya. Singapura dilihat mempunyai
undang- undang yang komprehensif tentang biokeselamatan dan biosekuriti berbanding Malaysia. Ini rentetan penularan wabak virus SARS satu ketika dahulu di makmal di Singapura.
Oleh kerana penulis melihat pernyataan Australia yang dikatakan ‘overclaim’ tersebut maka penulis tergerak hati melihat data statistik Covid -19 dan berasa terkejut dengan data WHO berkaitan Australia tersebut. Dilihat Australia sebagai benua terkecil dunia dengan penduduk seramai 25 juta kini mempunyai 6468 kes Covid-19 dengan hanya 63 kematian dan kes baru direkodkan sebanyak 10 sahaja.Jadi penulis telah lama meneliti isu tersebut dan kini menyarankan kerajaan agar merangka
rang undang- undang baru berkaitan biosekuriti menggantikan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit ini.
Akta Biosekuriti Australia 2015 merangkumi tumbuhan, haiwan dan kesihatan manusia. Dalam merangka mengurus risiko biosekuriti setiap wilayah di Australia merangka undang-undang sendiri juga dikawal selia oleh protokol untuk mengurus risiko dari jenis-jenis virus yang berbahaya kepada manusia. Ini juga termasuk ancaman biologi kepada manusia, industri dan alam sekitar juga merangkumi pandemik dan risiko biokeganasan pada masa akan datang. Saya mencadangkan sudah sampai masanya Malaysia membuat rombakan undang-undang ini ke arah
yang lebih dinamik dan mengambil kira perubahan sains dan teknologi yang berkembang maju seperti bioteknologi juga kebarangkalian biokeganasan secara biologi mahupun virus.
Undang-undang sebegini lebih ke arah meminimumkan risiko sains dan teknologi daripada amalan negara sekarang ini yang dilihat ‘ad hoc’ dan bersifat sementara mengikut kuasa eksekutif dan membuatkan pelbagai perkara terlepas pandang dan bersifat reaktif dari proaktif.
Sesuatu tatacara atau protokol biokeselamatan atau biosekuriti perlu bagi mengatasi masalah pandemik Covid-19 di peringkat nasional juga berupaya mengangkat wibawa Malaysia ke aras yang lebih tinggi setanding negara maju di masa akan datang. Undang-undang secara perintah dan kawal sebagai strategi utama dilihat mungkin tidak berkesan sebagai satu cara kawal selia virus malah membuka ruang kepada permasalahan yang lain pula. Kawal selia secara pengurusan risiko dengan adanya standard amalan dan Protokol nasional dilihat lebih mampan dan menambah keyakinan negara lain terhadap cara pengurusan Malaysia menangani krisis Covid-19.
Oleh: Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan (Undang-undang Biokeselamatan), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti
Sains Islam Malaysia