KUALA LUMPUR – Penyerang Felda United FC, Nicolas Velez mengambil langkah berani memotong gaji demi menjamin masa depan pasukan di Liga Super yang telah ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemain berusia 29 tahun yang telah menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan untuk skuad The Fighters bersetuju dengan cadangan itu kerana dia ingin membantu kelab agar dapat meneruskan kelangsungan semasa PKP.
“Kita semua tahu bahawa krisis Covid-19 melanda seluruh dunia dan telah mempengaruhi semua pertandingan sukan. Kami tidak pasti bila liga akan dimulakan semula dan terdapat banyak perbincangan antara pemain dan pihak pengurusan.
“Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji. Saya juga dihubungi oleh pengurusan kelab mengenai perkara ini dan saya memuji pendekatan kelab dalam menyelesaikan masalah ini.
“Saya faham apa yang sedang berlaku dan kelab sentiasa menghormati apa yang terkandung dalam kontrak pemain. Saya juga diberitahu bahawa pemotongan ini hanya dalam tempoh PKP, dan itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya juga ingin membantu kelab,” katanya yang disiarkan di Facebook rasmi Felda United FC yang memetik laporan The Star hari ini. – MalaysiaGazette