KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan memperkenalkan undang-undang untuk menyelesaikan isu di antara pemilik rumah yang tidak mahu menangguhkan sewa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa sehingga kini banyak aduan yang diterima mendakwa masih ramai pemilik rumah mengenakan tekanan untuk melunaskan sewa bulanan meskipun pada masa ini ramai yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh itu.
Berikutan itu, menurut Asyraf, kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia banyak menerima aduan orang ramai di kalangan penyewa mengenai tekanan yang dikenakan oleh Tuan/Pemilik Rumah untuk melunaskan sewa bulanan walaupun Kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan oleh bank-bank.
“Situasi ini sudah tentu amat dikesalkan lantaran terhakisnya sifat keihsanan dan timbang rasa sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan,
Asyraf khuatir sekiranya isu ini berterusan ada keluarga yang bakal kehilangan tempat berteduh.
Dalam keadaan seperti ini, beliau turut menasihatkan pemilik rumah agar bertoleransi dengan penyewa khususnya dalam kalangan yang kurang berkemampuan akibat pendapatan yang terjejas.
“Kita bimbang sekiranya situasi ini gagal dibendung, ramai keluarga akan kehilangan kediaman tempat berteduh lantaran sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette