KUALA LUMPUR – Orang awam dan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diingatkan supaya berhati-hati dengan penipuan membabitkan pakej rangsangan ekonomi serta langkah bantuan yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri kewangan susulan wabak Covid-19.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) berkata, sindiket penipuan terbabit menggunakan taktik penipuan dengan niat untuk memperdaya mangsa yang tidak menaruh syak wasangka.
“Penipuan ini boleh mengakibatkan kerugian dalam bentuk wang dan berisiko menjejaskan butiran maklumat perbankan mereka yang sensitif dan sulit.
Mereka berkata, penipu tersebut menggunakan helah ingin memudahkan bantuan kewangan dan/atau membantu menyediakan permohonan pinjaman serta mendapatkan pembiayaan yang melibatkan pakej rangsangan dan langkah bantuan khas seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diumumkan BNM dan institusi kewangan.
“Kami ingin menegaskan bahawa institusi kewangan dan/atau bank tidak melantik atau berurusan dengan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman.
“Oleh itu, individu dan ahli perniagaan dinasihati supaya tidak membuat permohonan pinjaman dan/atau mendedahkan maklumat sensitif dan sulit kepada individu atau syarikat yang mengaku menjadi pihak ketiga yang dilantik atau ejen daripada industri kewangan,” kata mereka.
Orang ramai dan ahli perniagaan yang ingin mendapatkan pembiayaan juga dinasihati menghubungi secara langsung bank atau institusi kewangan untuk membuat permohonan pinjaman bagi mengelakkan daripada ditipu oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab, kata persatuan tersebut.
Mereka berkata sebagai alternatif, PKS juga boleh mendapatkan pilihan pembiayaan yang sah melalui platform dalam talian melalui imSME.com.my, yang akan memadankan keperluan pembiayaan pemohon dengan institusi kewangan yang paling sesuai dengan keperluannya.
“Orang ramai juga dinasihati supaya berwaspada terhadap panggilan atau pesanan yang kononnya daripada pegawai bank, pihak polis, jabatan cukai pendapatan, mahkamah atau agensi kerajaan lain yang meminta maklumat perbankan peribadi anda.
“Bank dan/atau institusi kewangan sama sekali tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi seperti Kod Pengesahan Transaksi (TAC) atau Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) atau nama pengguna daftar masuk dalam talian dan kata laluan,” kata mereka.
Ahli perniagaan dan orang ramai diingatkan supaya merujuk laman sesawang rasmi institusi kewangan dan/atau bank atau menghubungi perkhidmatan pelanggan mereka secara langsung untuk memperoleh maklumat, melakukan pengesahan dan mendapatkan penjelasan.
Hubungi BNMTELELINK di talian 1-300-5465 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Orang ramai juga boleh menghubungi persatuan berikut untuk sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung dengan penipuan SRF melalui:
- ABM melalui ABMConnect di talian 1300-88-9980 atau melalui eABMConnect di www.abm.org.my untuk bank perdagangan konvensional.
- AIBIM di talian 03-2026 8002/13 atau e-mel kepada [email protected] untuk perkhidmatan perbankan Islam.
- ADFIM di talian 03-2694 9871 atau e-mel kepada [email protected] untuk institusi kewangan pembangunan. – MalaysiaGazette