Home Sukan Pemain Lokomotiv meninggal dunia akibat sakit jantung

Pemain Lokomotiv meninggal dunia akibat sakit jantung

Pemain muda FC Lokomotiv Rusia meninggal dunia akibat jantung gagal berfungsi ketika berlatih seorang diri.

MOSCOW – Pemain muda Lokomotiv Moscow meninggal dunia pada usia 22 tahun akibat kegagalan jantung berfungsi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika pemain itu berlatih berseorangan, kata kelab Liga Perdana Rusia.

Samokhvalov berlatih seorang diri selepas dikuarantin akibat pandemik koronavirus 2019 (Covid-19).

“Pemain itu jatuh sakit ketika berlatih seorang diri,’ kata kenyataan rasmi Lokomotiv Moscow hari ini.

Samokhvalov meninggalkan seorang balu dan anak lelaki yang masih kecil.

Kelab itu melahirkan rasa terkejut dengan tragedi yang menimpa pemainnya, merakamkan simpati dan takziah untuk ahli keluarganya.

Samokhvalov beraksi untuk pasukan simpanan Lokomotiv Kazanka di liga ketiga Rusia dan belum pernah beraksi dalam Liga Perdana Rusia sejak menyertai kelab itu pada 2015.

“Sangat teruk..doktor yang merawat si mati berkata dia meninggal dunia akibat jantungnya gagal berfungsi,” kata jurulatihnya Alexander Grishin.