Home Pendapat Perketat kawalan sempadan

Perketat kawalan sempadan

seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan membantu pihak polis dalam tugasan PKP seperti mengawasi sekatan jalan raya dan juga kawalan lokasi yang dikenakan PKPD.-Gambar hiasan.

SEKIRANYA ada mana-mana pihak yang beranggapan kawalan keselamatan di sempadan negara kini longgar atau kurang diberi perhatian disebabkan tumpuan pasukan keselamatan terhadap tugas pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telahan itu silap.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya sebagai pasukan paling hadapan dalam penugasan mengawasi perbatasan negara sebenarnya masih bertugas seperti hari-hari biasa sama ada di sempadan daratan, perairan dan juga mengawasi ruang angkasa untuk tempoh 24 jam sehari selama tujuh hari seminggu tanpa gagal.

Pada masa sama, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan membantu pihak polis dalam tugasan PKP seperti mengawasi sekatan jalan raya dan juga kawalan lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jumlah ini hanyalah kecil berbanding kekuatan sebenar ATM iaitu kira-kira 120,000 anggota.

Selain ATM, tugas pengawasan di sempadan ini turut digalas pasukan keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Gerakan Udara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Negara dan Jabatan Imigresen.

Kolaborasi padu bersama ini yang bukan sahaja melibatkan kawalan persempadanan darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur malah turut melibatkan kawalan di kawasan perairan.

Justeru, ia akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan pada setiap pemerintahan supaya berada pada tahap tinggi.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam kenyataanya baru-baru ini menegaskan, ATM pada sebilang masa sentiasa bersiap sedia dan kekal komited dalam memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara.

Tegas beliau, melalui Perutusan Khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada10 April lalu, ATM sentiasa mengambil kira keadaan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi apa jua situasi terutama semasa negara kini menghadapi penularan wabak Covid-19.

“Pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki negara secara tidak sah dengan menggunakan laluan-laluan tikus. Ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan penularan wabak Covid-19.

“Sebab itu semasa penguatkuasaan PKP dan PKPD, operasi dalam negara tetap diteruskan dan berjalan seperti biasa,” tegas beliau dalam kenyataan tersebut.

Sebab itu, kejayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan sebuah bot yang membawa 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya di barat Pulau Langkawi, Kedah pada Jumaat lalu wajar diberikan pujian.

Kehadiran bot berkenaan dikesan melalui pengawasan udara menggunakan pesawat C-130H sebelum menggerakkan dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke lokasi berkenaan untuk memintas bot berkenaan.

Atas dasar perikemanusiaan, kesemua penumpang bot diberikan bekalanan makanan sebelum diusir keluar dari perairan negara.

Ini merupakan cubaan kedua PATI Rohingya masuk ke perairan negara yang berjaya dikesan semasa tempoh PKP ini.

Sebelumnya pada 5 April lalu, 202 PATI entik ini ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai berkenaan.

Sehubungan itu, tidak mustahil cubaan seperti ini akan berulang oleh PATI dari negara-negara lain termasuk negara tetangga.

Mereka yang telah berada di negara masing-masing tetapi memilih untuk kembali semula ke Malaysia disebabkan kebimbangan berikutan penularan wabak Covid-19 di negara sendiri.

PATI ini juga sanggup mengambil apa jua risiko termasuk ditangkap oleh pihak berkuasa asalkan hasrat mereka untuk mendarat atau melepasi sempadan Malaysia terlaksana.

Selain itu, pendatang asing yakin mereka akan mendapat layanan lebih baik berbanding di negara sendiri termasuk penjagaan kesihatan. Malah, tempoh perundangan untuk mengusir keluar sudah pasti memakan masa dan setidak-tidaknya sepanjang tempoh tersebut mereka selamat berada di sini.

Perkara itu wajar dibimbangi kerana kehadiran mereka tanpa proses saringan yang betul mengundang risiko tinggi selain boleh mencetuskan gelombang baharu virus maut tersebut.- MalaysiaGazette

Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.