Home Nasional Ujian swab tidak batalkan puasa, kata Mufti Perlis

Ujian swab tidak batalkan puasa, kata Mufti Perlis

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada orang ramai yang hadir berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 susulan penularan wabak Covid-19 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 20 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan ujian saringan Covid-19 menggunakan ujian swab untuk mendapatkan sampel menerusi hidung dan mulut tidak membatalkan puasa.

Jelas Mufti negeri itu, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kedua-dua kaedah tersebut tidak membawa gambaran tindakan makan dan minum.

“Ujian swab tidak membawa gambaran dan makna makan atau minum yang menjadi sebab membatalkan puasa atau ijmak ulama. Maka sesuatu puasa yang sah secara yakin boleh dianggap batal dengan sesuatu yang syak atau sekadar sesuatu andaian.

“Pandangan yang ditarjihkan iaitu ujian swab tidak membatalkan puasa bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga dalam (al-Jauf) mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain di luar badan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Asri, daripada aspek perubatan sekalipun ia tidak membatalkan seperti memasukkan teropong perut ke dalam organ badan itu.

“Jika demikian maka lebih sepatutnya ujian swab yang hanya membabitkan proses memasukkan alat swab ke dalam rongga hidung dan mulut untuk mendapatkan sampel yang diperlukan kemudian dikeluarkan semula juga tidak membatalkan puasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette