Home Nasional Wanita cipta lagu, bengang ramai masih degil ingkar PKP

Wanita cipta lagu, bengang ramai masih degil ingkar PKP

KUALA LUMPUR – Bengang dengan sikap pelbagai pihak yang masih tidak patuh akan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menjadikan seorang anak muda bernama Mim Hamzah tampil dengan sebuah lagu penuh nasihat.

Beliau yang mengakui tidak selesa dengan keberadaan banyak kenderaan dan individu di jalan raya serta tempat-tempat awam terpanggil untuk menggubah lagu tersebut agar lebih ramai yang memahami konsep duduk di rumah yang acap kali dimainkan oleh kerajaan.

“Saya gubah lagu ni masa PKP memasuki fasa ketiga, saya bengang sebab ramai masih degil tak mahu duduk rumah. Keluar kesana kesini.

“Lagi satu bila baca kat media sosial ramai yang mengeluh sebab duduk rumah lama, jadi saya ambil kesempatan ini untuk hiburkan mereka melalui lagu saya. Saya nak nasihatkan orang ramai agar terus duduk rumah bagi kita putuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut anak kelahiran Johor itu, lagu yang digubah beliau ditujukan khas buat mereka yang masih keluar rumah dan tidak mengendahkan larangan kerajaan agar duduk diam di rumah.

“Saya memang suka compose lagu, jadi ada kawan-kawan saya cabar untuk saya gubah lagu tentang Covid-19, jadi saya pun ikut,” katanya komposer muda itu.

Lagu berjudul ‘Stay Home’ itu turut menarik minat beberapa pihak yang mahu berkoloborasi dengan Mim Hamzah antaranya beberapa pemuzik tempatan dan antarabangsa.

Lagu hasil lirik dan gubahan Mim Hamzah itu boleh ditonton di https://youtu.be/3lfUOjXiEgI – MalaysiaGazette