KUALA LUMPUR – Penyanyi A,ishah menggunakan waktu yang terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini untuk menghasilkan penutup muka kepada petugas barisan hadapan.
Malah dia yang popular dengan lagu Janji Manismu itu memperuntukkan wang sendiri untuk menyiapkan produk itu dan penghasilan pertamanya sudah diguna pakai.
“Masya Allah besarnya hati (berbunga-bunga lagi) bila melihat orang memakai face shields buatan kita.
“Walaupun ini batch paling awal tanpa sticker tajuk lagu tapi menggunakan hologram sticker. Terima kasih @idealhealthcentre sudi memakai face shields kami,” tulis Aishah di Instagram miliknya.
Menurut Aishah, masih banyak kekurangan pada keluaran awalnya namun dia berjanji akan terus memperhalusi pembuatannya.
“Walaupun banyak kekurangan first batch ini, mohon maaf sangat. Insya-Allah akan diperhalusi pembuatannya.
“Hari ini rasa pitam menenung benda alah tu. Alhamdulillah secara keseluruhannya sudah siap 500 keping. First shipment ini Insya-Allah akan ke Klinik Kesihatan Seremban, Senawang dan Rembau,” tulis Aishah lagi.
Tambah Aishah, dia akan terus membuat face shields dan akan menghantar ke Perak pula kerana ada permintaan di sana.
“Doakan saya sihat supaya dapat teruskan khidmat saya yang tak seberapa ni untuk menyokong frontliners kita.
“Doakan kita cepat-cepat dapat menangani wabak ini. Dah rindu nak nyanyi Pulanglah ni. Stay safe, stay healthy, stay positive, STAY HOME!” pesannya.
Sebelum ini, Juara Gegar Vaganza musim keempat itu terkenal dengan seni kreatifnya dan sering mengikuti kelas kraf untuk menambahkan ilmu. – MalaysiaGazette