Home Nasional KKM, MOT bincang isu anak kapal

KKM, MOT bincang isu anak kapal

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan berhubung langkah terbaik yang perlu dilakukan terhadap anak-anak kapal yang pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu perlu dilakukan sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ujarnya, pada masa ini anak-anak kapal yang terlibat dengan pelayaran mewah sememangnya akan dikuarantin selama dua minggu sebagaimana biasa.

“Anak-anak kapal kita punya SOP (Operasi Prosedur Standard) kalau kapal cruise (persiaran), kapal layar dan sebagainya memang tetap kita pastikan kita kuarantin untuk 14 hari.

“Tetapi kalau penerbangan itu kita lihat ada stop tertentu (singgah di suatu lokasi), itu yang akan dibincang dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah yang akan digunakan akan diperhalusi sama ada mereka akan dikuarantin di rumah masing-masing ataupun ada cara lain untuk mengkuarantin mereka dan perkara itu yang perlu diteliti bersama Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada lagi anak-anak kapal yang dijangkiti wabak berkenaan.

Noor Hisham ditanya mengenai prosedur yang digunakan oleh KKM terhadap anak-anak kapal yang pulang dari luar negara ekoran terdapat aduan mereka tidak diasingkan sebaliknya hanya diberi cuti rehat sahaja.

Tidak seperti warganegara Malaysia yang lain, mereka akan dikuarantin selama 14 hari sejurus pulang dari luar negara. – MalaysiaGazette