Home Seni Hidup MBPJ-UiTM sumbang 131 PPE untuk barisan hadapan

MBPJ-UiTM sumbang 131 PPE untuk barisan hadapan

Seorang petugas yang terlibat dalam menyediakan pakaian perlindungan PPE untuk petugas barisan hadapan. Foto: MBPJ

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyiapkan sebanyak 131 pakaian perlindungan diri (PPE) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang bagi kegunaan petugas barisan hadapan yang merawat pesakit wabak Covid-19.

Pakaian perlindungan itu dibuat dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 8 April lalu yang merupakan sumbangan untuk fasa pertama, kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, usaha murni itu akan diteruskan lagi untuk fasa kedua bermula 14 April lalu untuk disumbangkan kepada pihak Hospital Sungai Buloh.

“Buat masa ini proses menjahit sedang giat dilaksanakan oleh 10 peserta di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dari Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar MBPJ di Lembah Subang 1 dan Flat PKNS Taman Dato Harun,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Jelas kenyataan itu lagi, peserta yang terlibat dalam proses membuat pakaian tersebut diberi upah RM5 untuk sehelai pakaian yang disiapkan.

Pada masa sama, kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ turut menghasilkan kira-kira 1,000 unit pelindung muka untuk diserahkan kepada agensi terlibat menangani Covid-19. – MalaysiaGazette