Home Utama Pelaksanaan akad nikah online setiap negeri berbeza

Pelaksanaan akad nikah online setiap negeri berbeza

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meluangkan masa melawat ruang dapur pada Majlis Pelancaran Program Dapur Al-Itam Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan di Masjid Salahudin Al Ayubi Taman Melati, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan majlis akad nikah secara sidang video dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara umumnya dipersetujui oleh semua negeri di negara ini.

Namun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pelaksanaannya mungkin berbeza.

“Daripada segi umumnya, mereka (negeri-negeri) bersetuju tapi pelaksanaan dan cara semua sekali itu bergantung kepada kebersamaan antara negeri antara satu sama lain.

“Saya yakin dan percaya hubungan baik antara negeri-negeri yang akan memudahkan isu itu Insya-Allah,” katanya pada sidang media di Masjid Salahuddin Al Ayyubi, Taman Melati hari ini.

Pada Isnin lalu, Selangor antara negeri kedua selepas Wilayah Persekutuan yang membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah menerusi sidang video dalam talian sempena pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun majlis akad nikah dalam talian itu memerlukan kelulusan khas daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan selepas lima jurunikah JAIS terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif Covid-19 semasa bertugas.

Pada 13 April lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk JAIS memberikan kelulusan khas kepada pasangan yang tetap ingin bernikah dalam tempoh PKP ini.

JAIS menguatkuasakan akad nikah secara kebenaran khas mulai 20 April lalu melalui lima langkah yang ditetapkan.

Pada 18 April lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video dalam talian.

Majlis akad nikah secara sidang video itu yang pertama itu membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Shariff. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bende2 mudah ni sepatutnya diseragamkan untuk semua negeri. Barulah nampak kesatuannya!

    Siapa yang sepatutnya coordinate? Susah sangat ke?

Comments are closed.