KUALA LUMPUR – Sejak bertahun-tahun lalu, menjelang dua hari sebelum Ramadan suasana di Kampung Kundur Hulu, Rembau, Negeri Sembilan pasti riuh-rendah.
Ini kerana, para penternak lembu di dalam kampung itu akan menyembelih, melapah lembu dan menjualnya pada harga yang murah berbanding harga pasaran untuk program mantai.
Mantai bermaksud sehari sebelum menyambut puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dan tradisi mantai atau melapah daging lembu di Negeri Sembilan yang menjadi amalan Adat Perpatih turun-temurun diteruskan kerajaan negeri dan kekal meriah.
Manakala penduduk-penduduk kampung pula akan bergotong rotong ‘melemang’ (membakar lemang) dan memasak rendang bersama anak-beranak dan saudara-mara.
Bagaimanapun sambutan Ramadan tahun ini, Kampung Kundur Hulu sepi memandangkan semua penduduk kampung mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pengerusi Masjid Kundur Hulu, Zubir Jamal.
Menurutnya, sejak pelaksanaan hari pertama PKP pada 18 Mac lalu, seluruh penduduk kampung akur dengan arahan tersebut dengan hanya duduk di rumah.
Lebih-lebih lagi apabila 10 orang penduduk kampung tersebut sebelum ini disahkan dijangkiti Covid-19.
”Kampung memang sunyi sekarang, lengang tiada kereta dari luar lalu lalang di kampung kami.
“Memandangkan mantai tidak dapat dijalankan pada tahun ini, maka kita bersederhana sahajalah sambut puasa,” katanya.
Dalam kesederhanaan itu, kata Zubir, pihak masjid akan memastikan kira-kira 1,800 kariah masjid dapat menyempurnakan Ramadan dengan baik.
Menurut beliau, sekiranya program mantai berjalan, penduduk pastinya akan bertukar-tukar atau berkongsi makanan tetapi sejak PKP ini, masjid kampung pula meneruskan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk yang memerlukan bantuan.
“Kita akan pastikan tiada penduduk yang terputus bekalan makanan ketika PKP ini. Sekurang-kurangnya dengan bantuan yang disalurkan, di atas meja mereka masih ada makanan yang boleh dijamu,” ujarnya.
Zubir turut menitipkan nasihat kepada penduduk kampung itu agar sentiasa bertenang dan bertahan sepanjang PKP, semoga dengan kesabaran tersebut, suasana kemeriahan Aidilfitri dapat diraikan dengan keluarga tersayang.
“Sudah sebulan kita bertenang, saya harap kita terus bersabar. Insya Allah ada hikmah dengan kesabaran ini. Sungguhpun Ramadan tanpa mantai, tidak boleh berjalan ke masjid, ketua-ketua keluarga ambillah kesempatan menjadi imam kepada keluarga masing-masing.
“Manfaatkan Ramadan ini sepenuhnya dengan amal ibadat selain mengukuhkan ukhuwah sesama keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette