Home Nasional Solat tarawih seorang pun tak jadi masalah

Solat tarawih seorang pun tak jadi masalah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Program Dapur Al-Itam Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan di Masjid Salahudin Al Ayubi Taman Melati, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan sehingga sekarang dan berkemungkinan berterusan sepanjang Ramadan, orang ramai digesa untuk melaksanakan solat sunat tarawih di rumah masing-masing.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memandangkan solat tarawih adalah ibadat sunat, ia boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian di rumah.

“Oleh kerana solat tarawih ini sunat, yang pentingnya kita lakukan solat, mungkin kalau kita ada keluarga, sampai rumah kita boleh berjemaah bersama keluarga, mungkin itu lebih baik.

“Kalau kita seorang (solat) tak jadi masalah, yang penting kita buat tarawih, kita buat solat tarawih seorang pun tak jadi masalah,” katanya pada sidang media di Masjid Salahuddin Al Ayyubi, Taman Melati, di sini, hari ini.

Zulkifli juga akan meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menghasilkan satu garis panduan kepada orang ramai untuk menunaikan solat tarawih agar mudah difahami dan dilakukan sama ada bersama keluarga mahupun berseorangan.

“Kalau boleh kita hasilkan video demostrasi mudah pelaksanaan solat tarawih di rumah, yang mungkin dengan kerjasama JAWI boleh buat demostrasi ringkas dalam masa terdekat.

“Kalau boleh setiap yang kita buat ini kita telah ambil satu pandangan jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette