KUALA LUMPUR – Penduduk Pengerang, Johor dinasihatkan agar tidak panik susulan penemuan kluster baharu Covid-19 di kawasan itu.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, masyarakat di kawasan itu perlu kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Azalina dalam masa yang sama turut menyeru syarikat swasta yang beroperasi di Pengerang mengambil langkah pencegahan dan bertanggungjawab demi memastikan wabak ini tidak menular.
“Saya berharap syarikat-syarikat swasta yang beroperasi di Pengerang untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan dan sentiasa berpegang kepada kebertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling agar wabak ini tidak terus menular dalam kalangan penduduk setempat.
“Oleh itu, saya berharap masyakat pengerang tidak panik dan terus mengambil langkah berjaga-jaga, sekiranya terdapat gejala/simptom berkaitan Covid-19 teruslah mendapatkan rawatan di KlinikĀ Hospital berhampiran.
“Ikut saranan pihak KKM agar kekal #dudukdirumah dan tiada aktiviti kunjung mengunjung dilakukan agar kita boleh memutuskan rangkaian wabak penyakit ini. Sentiasalah patuh arahan Kerajaan kerana PKP masih belum tamat,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, penularan wabak itu bukan daripada penduduk tempatan sebaliknya melibatkan kakitangan di sebuah syarikat swasta yang berpusat di Pengerang.
Beliau dalam masa sama memberi jaminan akan sentiasa memantau isu yang berkaitan dengan pengerang.
Azalina turut menyeru masyarakat di Pengerang tidak menyebarkan berita yang tidak sahih bagi memastikan tiada suasana panik.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes lama (1508) yang bermula di Pengerang pada pertengahan Mac lalu mengakibatkan sehingga 15 orang positif Covid-19 yang terdiri 10 rakan sekerja dan lima ahli keluarga.-MalaysiaGazette