Home Nasional Peruntukan RM2.16 juta untuk Dapur It’am sepanjang Ramadan

Peruntukan RM2.16 juta untuk Dapur It’am sepanjang Ramadan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meluangkan masa melawat ruang dapur pada Majlis Pelancaran Program Dapur Al-Itam Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan di Masjid Salahudin Al Ayubi Taman Melati, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan RM2.16 juta untuk melaksanakan Dapur ‘It’am yang menyediakan juadah berbuka puasa sekitar Wilayah Persekutuan sepanjang bulan Ramadan yang dijangka bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dianggarkan sebanyak 25,200 keluarga yang bersamaan 100,000 orang akan menerima juadah berbuka puasa sepanjang 30 hari.

“Kalau kita darab empat dengan anak-anak seolah-olah kita menanggung dalam satu hari di Wilayah Persekutuan hampir 100,000, bayangkan kalau 30 hari bermakna hampir 3 juta dengan jumlah yang amat minimum,” katanya ketika sidang media hari ini.

Jelas Zulkifli, melalui cara itu, ia merupakan pengganti cara umat Islam berbuka puasa beramai-ramai di masjid beramai-ramai sebelum ini.

Juadah yang telah siap dimasak di 72 masjid seluruh Wilayah Persekutuan kemudian diagihkan kepada wakil sebelum diedar kepada penduduk setempat.

“Daput It’am atau masak di masjid untuk jamuan orang ramai sebenarnya kita telah mengambil satu ketetapan berdasarkan keputusan Kabinet yang saya sebut hanya di Wilayah Persekutuan dahulu iaitu kita telah menubuhkan Dapur It’am dapur yang kita masak kita agihkan kepada penduduk setempat.

“Kita bina hubungan keakraban dan juga sifat yang kita kata new normal dalam bentuk kita agihkan makanan walaupun kita tidak ada lagi seperti sebelum ini iftar beramai-ramai di masjid, berkerumun tetapi kita tukar caranya yang juga setiap mereka yang berkehendak, berkeperluan dapat makan dan minum dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Zulkifli, seramai enam orang akan bertugas memasak di setiap masjid setiap hari mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) kebersihan dan pencegahan wabak Covid-19.

“Jadi cara yang kita buat adalah masjid seperti biasa ditutup, dikunci pintunya, petugas yang terhad seramai enam orang yang mana jaraknya dijaga, memakai topeng muka, sarung tangan, begitu juga memakai hand sanitizer dan pemasaknya pula memakai topi atau penutup kepala dan jaraknya dijaga.

“Kemudian selepas waktu Asar yang dibungkus, ada wakil akan ambil tanpa beratur, mereka akan agihkan di tempat masing-masing di kawasan, taman masing-masing,” katanya lagi.-MalaysiaGazette