Home Utama Surat terbuka Anifah Aman kepada Perdana Menteri

Surat terbuka Anifah Aman kepada Perdana Menteri

YAB Tan Sri Perdana Menteri

Assalamualaikum wbt

ISU LAUT CHINA SELATAN

Saya mendoakan semoga YAB Tan Sri berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera serta dirahmati Allah SWT.

2. Saya ingin menarik perhatian YAB Tan Sri kepada laporan media tempatan, serantau dan antarabangsa sejak hujung minggu lepas berhubung keadaan di Laut China Selatan, khususnya yang berkaitan dengan kehadiran kapal–kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

3. Seperti yang Tan Sri sedia maklum, isu Laut China Selatan merupakan isu berkeutamaan tinggi kepada Malaysia sejak dahulu lagi. Seperti yang Tan Sri sedia maklum juga, isu ini menjadi antara isu utama yang dibincangkan di dalam Mesyuarat–Mesyuarat Kabinet bagi tempoh 2009–2016 sewaktu Tan Sri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan saya merupakan Menteri Luar Negeri.

4. Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, hak kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan sebagainya. Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China tetapi China menghormatinya.

5. Malaysia tidak akan dapat mempertahankan kepentingan strategik tanpa pendirian yang konsisten dan berprinsip ini. Antara elemen utama pendirian ini ialah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia kerana tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS).

6. Kehadiran kapal China di dalam kawasan perairan Malaysia bukan untuk tujuan pelayaran berlaku buat kali pertaman dalam tahun 2012 apabila kapal Pengawal Pantai China mengganggu aktiviti kajian seismik yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor PETRONAS. Walau bagaimanapun, kapal China tersebut tidak mengambil tindakan yang keras seperti melanggar dan menghimpit (ramming) seperti yang berlaku di antara China dengan Vietnam dan China dengan Filipina. Salah satu teori yang dibangkitkan berhubung tindak tanduk China yang berbeza ini adalah kerana China mengenang peranan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengannya. Walau bagaimanapun, teori ini tidak dapat disahkan.

7. Malaysia telah memprotes tindakan China tersebut dan saya selaku Menteri Luar Negeri pada masa tersebut telah memberikan kenyataan kepada pihak media dan membangkitkan ketidaksenangan Malaysia berhubung tindak tanduk China dengan rakan sejawatan saya dari China.

8. Saya berpandangan pendirian yang konsisten dan berprinsip adalah merupakan cara terbaik untuk menangani tindak tanduk China. Dalam masa yang sama, pertimbangan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan mestilah berdasarkan kepentingan nasional dan pertimbangan lain seperti keperluan menjaga air muka China dan sebagainya menjadi pertimbangan sekunder.

9. Sehubungan dengan itu, saya berpandangan adalah wajar untuk pihak Kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung aktiviti survei yang dijalankan oleh kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia. Kapal MMEA dan TLDM yang bersaiz kecil mungkin tidak mampu menghalang kapal China tetapi sekurang–kurangnya kita menzahirkan tekad kita untuk tidak membiarkan kapal China berbuat sesuka hati di dalam kawasan maritim Malaysia. Dalam masa yang sama, kita boleh meneliti dan memahami setakat mana China akan bertindak balas terhadap Malaysia. Pemantauan rapat dan membayangi (close surveillance and shadowing) juga mesti dilaksanakan. Seterusnya pihak kerajaan melalui Menteri Luar Negeri wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia. Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas.

10. Dalam masa yang sama, saya berpandangan wujud keperluan untuk kerajaan menubuhkan satu entiti khas bagi mengendalikan isu–isu maritim Malaysia meliputi isu pembatasan sempadan maritim dengan negara–negara jiran, isu Laut China Selatan, maritime economic and blue economy dan sebagainya. Perkara ini telah saya bangkitkan dahulu tetapi penubuhannya tidak sempat direalisasikan ekoran perubahan kerajaan pada tahun 2018. Saya berpandangan penubuhan entiti khas ini akan membolehkan isu maritim dikendalikan secara komprehensif, bersepadu dan terselaras. Entiti khas ini melapor terus kepada YAB Perdana Menteri dan dengan itu meminimakan pertimbangan politik di peringkat Menteri dan Kementerian.

Please accept, Sir, the assurances of my highest consideration.

 

DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN

 

23 April 2020

2 Komen

  1. Well said DS Anifah. Tetapi DS Anifah dikira sama bersengkongkol dengan kerajaan bila DS tidak membangkitkan isu bahwa kapal “penyelidikan” China itu tidak bertindak agresif keatas kapal RMN disebabkan kapal perang Amerika juga sedang mengikuti kapal China itu dan memerhati operasi kapal China itu di Laut China Selatan. dalam insiden ini.
    Ini laporan dari US Naval Institute : “USNI News first reported USS America (LHA-6) was operating in the vicinity of the site of a tiff between China and Malaysia over mineral-rich territory in Malaysia’s Exclusive Economic Zone. The region has been marked by the increased presence of naval and paramilitary ships from China, Vietnam and Malaysia since Malaysian drillship West Capella began exploring the region in October. Currently, the Chinese survey ship Haiyang Dizhi 8 has been operating in Malaysia’s EEZ since April 16 with an escort of China Coast Guard vessels.”
    Adalah tidak munasabah kapal China dengan diiringi China Cost Guard yang selalunya begitu agresif (insiden Vietnam/Indonesia)”takut” dengan kapal RMN.
    Kenapa berita berkenaaan bantuan USS Amerika yang berada disitu tidak dihebahkan. Takut malu?

  2. Malaysia boleh meminta bantuan daripada Commonwealth melalui FDPA dan US melalui 7th Fleet. Bukan bermakna apabila kita meminta bantuan kita menggadaikan kedaulatan kita. Di masa konfrontasi dahulu sahabat2 kita daripada Commonwealth yang datang membantu menjaga sempadan kita. Mereka membantu atas dasar setiakawan Commonwealth dan untuk kepentingan ekonomi mereka juga kerana dengan memastikan Zon Laut China Selatan bebas untuk pelayaran kapal dagang mereka ke Asia Timur seperti Jepun dan Korea.

Comments are closed.