KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia belum lagi menang dalam perang menentang penularan Covid-19 walaupun kes positif negara kini dicatatkan pada tahap dua angka.
Justeru itu katanya, rakyat negara ini digesa untuk terus berjihad dan istiqamah bagi memastikan perjuangan ini berakhir dengan kemenangan.
“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi Covid-19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita. Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan.
“Tak makan nasi beriani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak Covid-19. Kita lihat secara positif.
“Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir.
“Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’,” guraunya dalam perutusan khas secara langsung malam ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menaruh harapan bulan Ramadan yang disambut esok akan membawa rahmat untuk negara memerangi penularan wabak Covid-19.
“Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, insyaAllah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah. Amin ya Rabbal Alamin.
“Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. InsyaAllah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei depan.
PKP fasa pertama, kedua dan ketiga membuktikan jumlah jangkitan wabak Covid-19 dapat dikurangkan dengan arahan untuk rakyat duduk rumah diam-diam.
Untuk rekod, jumlah kes positif Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 5,603 kes dan dan jumlah kematian pula 95 kes setakat ini. – MalaysiaGazette