Home Nasional Tiada zon jingga, 13 zon masih aktif Covid-19

Tiada zon jingga, 13 zon masih aktif Covid-19

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, tiada zon jingga direkodkan di negara ini dalam kes penularan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan masih terdapat 13 zon merah yang aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Antaranya Lembah Pantai dengan 273 kes aktif (dengan 646 kes positif Covid-19); daerah Petaling dengan 107 (372 kes positif); Hulu Langat 81 kes aktif (446 kes positif); Klang 44 (173 kes positif); Kepong 70 (159 kes positif); Titiwangsa 51 (137 kes positif).

Johor masih terdapat dua zon merah aktif iaitu Johor Bahru 75 (195 kes positif); dan Kluang 86 (dengan 222 kes positif) manakala Kuching, Sarawak 212 dengan 285 kes positif Covid-19, dan Kota Samarahan 67 kes dengan 77 kes positif Covid-19.

Masing-masing satu zon merah di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dengan Melaka Tengah 60 (dengan 89 kes positif); Seremban 92 (310 kes positif) dan Kuantan 72 kes (dengan 126 kes positif).

Biarpun tidak dikategorikan sebagai zon aktif, negeri Sabah masih mencatatkan kes aktif tertinggi dengan 104 kes, diikuti dengan Terengganu 68 kes.

Negeri Perak dengan 16 kes aktif, Pulau Pinang 11, Kedah 8 dan Kelantan 7 kes aktif.

Semalam, Perlis menjadi negeri pertama di negara ini bebas daripada wabak Covid-19 selepas 18 kes positif sebelum ini telah pulih sepenuhnya. -MalaysiaGazette