Home Nasional Bakul makanan tular tidak sepadan harga itu sumbangan NGO – Ismail Sabri

Bakul makanan tular tidak sepadan harga itu sumbangan NGO – Ismail Sabri

Bakul makanan sumbangan individu dan NGo di pusat pengumpulan JKM telah disalah ertikan oleh pembangkang kononnya milik kerajaan.

KUALA LUMPUR – Bakul makanan yang dikatakan tidak sepadan dengan harga sebagaimana diviralkan di media sosial oleh beberapa pemimpin pembangkang bukan disediakan oleh kerajaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, bakul makanan itu sumbangan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di pusat pengumpulan makanan.

Jelas beliau, kerajaan tidak pernah menetapkan syarat kos atau harga bagi setiap bakul makanan yang hendak disumbangkan dan bergantung kepada kemampuan mereka.

Beliau menjelaskan, Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah memberitahu mesyuarat Menteri-Menteri bahawa bakul makanan yang ditular itu adalah sumbangan daripada NGO.

“Rina maklumkan, selain JKM mengendalikan bakul makanan kerajaan, pihaknya juga menerima sumbang dari NGO.

“Bakul makanan itu dihantar ke pusat pengumpulan, dan dari situ pembangkang hanya nampak bakul yang mengandungi makanan sedikit, lalu difitnahnya kata kerajaan menipu dalam pembahagian bekalan makanan kepada rakyat.

“Yang mereka tular itu sumbangan orang luar. JKM hanya tolong menyampaikan bakul makanan itu kepada rakyat,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Beberapa pemimpin pembangkang ghairah menularkan gambar bakul makanan yang tidak setimpal dengan kos diperuntukan, dalam akaun Twitter masing-masing, untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya kerajaan Pakatan Nasional (PN) masih berpolitik dalam membantu masyarakat.

Gambar yang memaparkan sekampit beras lima kilogram (kg), minyak masak satu kg, biskut dan mihun itu tidak dinyatakan jumlah kos, tetapi telah diputar belit oleh pembangkang dengan mengatakan bakul makanan itu sepatutnya berharga RM100. – MalaysiaGazette