Home Utama Bapa mengaku cuba sumbang mahram dan cabul anak

Bapa mengaku cuba sumbang mahram dan cabul anak

Bapa berusia 46 tahun diiringi anggota polis bagi pertuduhan kes cubaan mencabul dua anak perempuannya di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2020

SHAH ALAM – Seorang lelaki berusia 46 tahun hari ini mengaku bersalah atas tuduhan cuba melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berusia 21 tahun.

Mengikut  pertuduhan yang dibaca di Mahkamah Sesyen, lelaki itu melakukan kesalahan  pada April 2015  di Shah Alam.

Pertuduhan ini di bawah Seksyen 376(B)(1) Kanun Keseksaan boleh dibaca bersama dengan Seksyen 511 Akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun tidak lebih 30 tahun beserta sebatan.

Hakim Mohd  Sabri Ismail kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh yang merupakan seorang peniaga  melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, tertuduh dihadapkan dengan  tiga pertuduhan  mencabul tiga anak perempuannya berusia  15, 17 dan 21 tahun dan dua dakwaan lain lagi.

Semua pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana setiap kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Tertuduh ketika mendengar pertuduhan  mengaku bersalah terhadap dua daripada tiga dakwaan mencabul tersebut.

Pertuduhan keempat pula adalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuan, 17 tahun pada 11 Mac 2020,  membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,  di bawah Seksyen 323 Kanun Kesekaan.

Kelima iaitu terakhir, adalah tuduhan memiliki video lucah.

Kesalahan ini di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh mengaku bersalah untuk kedua-dua tuduhan tersebut.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian menetapkan ikat jamin berjumlah RM15,500 untuk kelima-lima pertuduhan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mendekati ketiga-tiga anak perempuannya.

Mahkamah menetapkan 29 Jun 2020 sebagai tarikh jatuh hukum dan serahan dokumen.-MalaysiaGazette