Home Nasional Buruh didenda RM1,100 lempar kata jelik kepada tentera, langgar PKP

Buruh didenda RM1,100 lempar kata jelik kepada tentera, langgar PKP

Foto hiasan

KANGAR – Seorang buruh didenda RM1,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melemparkan kata-kata jelik terhadap seorang anggota tentera dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika sekatan jalan raya di Kuala Perlis, Isnin lepas.

Khairol Azman Daud, 35, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Kamaliza menjatuhkan hukuman denda RM100 atau penjara lima hari bagi pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan perkataan jelik terhadap seorang anggota tentera dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Dia melakukan kesalahan itu pada 11.45 pagi, 20 April lepas mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100.

Tertuduh juga didenda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan bagi kesalahan melanggar PKP dengan bergerak keluar dari rumahnya di Taman Utara Jaya, Kuala Perlis ke kawasan jangkitan lain di Kangar pada hari sama (20 April).

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, semasa sekatan jalan raya Op COVID-19, anggota polis telah memeriksa kad pengenalan tertuduh dan memintanya meletakkan kereta di tepi jalan.

Anggota polis meminta rakannya iaitu anggota tentera itu ke kereta tertuduh untuk menyuruh tertuduh mengambil kad pengenalannya yang diletakkan di atas meja di bawah khemah tetapi apabila sampai ke kereta, tertuduh yang berada di dalam kereta telah mengeluarkan kata-kata jelik kepadanya.

Timbalan Pendakwa Raya Jodia Por Yi Tying memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang mengeluarkan perkataan jelik kepada anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan.

Peguam Fatin Hayati Abd Rahman yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum kerana tertuduh menanggung isteri dan tiga anak berumur dua hingga lapan tahun selain dia menghidap penyakit jantung.

Tertuduh membayar denda itu.

— BERNAMA