Home Utama Curi kayu balak dengan kereta yang hampir tinggal rangka

Curi kayu balak dengan kereta yang hampir tinggal rangka

Kereta itu seperti tidak boleh digunakan lagi namun hakikatnya ia masih berfungsi.

Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU – Menggunakan kereta yang hampir tinggal rangka untuk membawa balak yang telah dipotong, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa, merupakan antara taktik pihak yang terbabit dalam kegiatan mencuri balak di Terengganu.

Pada pandangan mata kasar, kereta itu seperti tidak boleh digunakan, dengan bahagian bonet belakang kereta telah diubah suai, malah keempat-empat pintu dicabut, manakala bahagian enjin langsung tidak bertutup dan hanya kerusi pemandu sahaja yang masih kekal.

Justeru, tiada siapa yang menyangka kereta Proton Saga itu boleh dijadikan kenderaan untuk membawa kayu balak yang dicuri dan meredah hutan simpan bagi mengelak jejak dikesan penguat kuasa.

Kreativiti ‘tidak bertempat’ itu dikesan dilakukan oleh beberapa lelaki tempatan yang disyaki mencuri kayu balak sekitar Besut bagi membolehkan mereka membawa keluar beberapa batang kayu sepanjang lebih 3.65 meter.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Muhamad Abdullah, ketika ditemui Bernama hari ini, berkata meskipun menggunakan ‘kebijaksanaan’ sebegitu, penguat kuasa masih mampu menghidu kegiatan mereka menerusi rondaan dan maklumat orang ramai.

Pihaknya turut mengesan taktik licik dengan menceroboh hutan simpan lebih 15 kilometer (km) dari kawasan penempatan dan jalan raya, kononnya jejak mereka tidak akan dapat dikesan hingga ada yang sanggup mengusung kayu menggunakan motosikal dan juga kereta yang bagai sudah tinggal rangka.

“Pencuri ini ada yang proses balak dalam hutan simpan hingga jadi papan dan ada juga yang dipotong panjang dalam empat kaki (1.21 meter) untuk dibawa keluar dan dihantar ke kilang.

“Kecurian ini biasanya melibatkan kumpulan kecil dalam tiga atau empat orang dan mereka takkan selesaikan dalam masa sehari. Mereka akan masuk sehari dua, lepas itu keluar dan apabila nampak ‘selamat’ mereka akan datang lagi…ia tanpa melibatkan penggunaan jentera berat,” katanya.

Muhamad berkata operasi mencuri balak biasanya dilakukan pada waktu tengah malam sehingga jam 6 pagi dan mereka akan mensasarkan pokok balak berkualiti seperti meranti, balau dan cengal berikutan terdapat permintaan tinggi di pasaran.

“Berdasarkan rekod memang ada berlaku peningkatan kes kecurian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin pencuri ini silap kerana ingatkan jabatan ini turut bercuti dan bekerja dari rumah…sedangkan sebenarnya penguat kuasa lagi aktif bertugas.

“Setakat ini kami telah melakukan 555 rondaan dan pemeriksaan (di seluruh negeri). Kita tahu bahawa jika rondaan tidak ditingkatkan, kejadian kecurian semakin kerap dan bermaharajalela,” katanya.

Menurut Muhamad,  sewaktu PKP bermula 18 Mac hingga 22 April, pihaknya berjaya mengesan 11 kes termasuk pencerobohan dan tebangan haram, memiliki kayu tanpa cukai serta membawa hasil hutan tanpa pas memindah.

Katanya, kes tersebut melibatkan dua lokasi’ panas’ iaitu Besut dan Dungun, malah empat lelaki berjaya ditahan dan mereka kini disiasat sebelum didakwa dengan beberapa peruntukan di bawah Akta Pertanian Negara 1984 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek yang melakukan kesalahan ini biasanya berusia dalam lingkungan 20-an dan mengikut aduan yang diterima, kes sebegini dilakukan mereka yang terbabit dengan dadah, walaupun mereka hanya menerima upah yang terlalu “sedikit”,”  katanya yang turut berterima kasih kepada pihak polis kerana sering membantu ketika melakukan operasi.

Ketika ditanya adakah kecurian balak turut melibatkan warga asing, Muhamad berkata warga Thailand, Vietnam dan Myanmar kebiasaannya dikesan menceroboh untuk menangkap hidupan liar dan bukannya mengambil hasil hutan.

“Saya amat berharap dengan adanya peningkatan penguatkuasaan ini, kita memberi mesej bahawa Jabatan Perhutanan tidak pernah leka dan bertugas siang dan malam. Kita juga berharap masyarakat dapat menjadi ‘mata dan telinga’ dengan menyampaikan maklumat sekiranya berlaku aktiviti kecurian,” katanya.

— BERNAMA