KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing dan 10 warga tempatan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sungai Besi, Pudu, Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu menemui wanita warga asing di dalam bilik berasingan bersama pelanggan terdiri daripada lelaki warga Malaysia dan Pakistan.
“Turut ditemui di dalam bilik-bilik Hotel tersebut ialah sejumlah kondom yang telah dan belum digunakan serta peralatan seks.
“Selain itu, pasukan operasi juga turut menemui buku catatan rekod bayaran pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, daripada 23 wanita warga asing yang ditahan, seramai 13 orang warga Thailand, tujuh warga Indonesia, dua warga Vietnam dan seorang warga Laos.
Katanya, kesemua tangkapan berumur antara 25 hingga 40 tahun dan akan disiasat atas kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial.
Khairul Dzaimee berkata, turut ditangkap dalam serbuan itu adalah tiga orang lelaki warga Malaysia yang bertindak sebagai agen kegiatan pelacuran tersebut disamping bertugas sebagai penjaga premis hotel berkenaan.
“Kesemua mereka akan disiasat di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Hasil pemeriksaan juga menemui dua orang perempuan pekerja pembersihan warganegara Indonesia yang tidak memiliki Pas yang sah dan ditangkap kerana kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Khairul Dzaimee, modus operandi sindiket pesundalan yang didalangi rakyat tempatan itu adalah dengan menyiarkan gambar iklan perempuan berpakaian seksi melalui aplikasi wechat yang boleh ditempah melalui media sosial atau dilanggan secara walk-in untuk tujuan pesundalan.
Katanya, setiap tempahan dan langganan dikenakan bayaran antara RM180 hingga RM300 bagi satu sesi dengan bilik hotel disediakan secara percuma.
Selain itu, tambah beliau, empat orang lelaki warga Malaysia yang ditemui di dalam bilik bersama pasangan perempuan warga asing berkenaan turut ditangkap di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020.
Tambah beliau, pegawai-pegawai kanan imigresen turut diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan di bawah seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] bagi menguatkuasakan peraturan tersebut.
Katanya, pelanggan lain yang ditangkap seorang lelaki warganegara Pakistan yang didapati telah tinggal lebih masa selepas tamat tempoh Pas dan akan disiasat di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Khairul Dzaim berkata, dalam operasi khas itu, turut ditemui ialah wang tunai berjumlah RM20,656.45 yang telah dirampas dan akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Jelasnya, semua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Semenyih dan sebagai langkah pencegahan penyebaran Covid-19, mereka akan disaring oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia KKM di depot sebelum direman untuk siasatan dan pendakwaan.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya hanya melaksanakan omnipresent namun itu tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.
Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warganegara asing yang cuba mengambil kesempatan, katanya. – MalaysiaGazette