KUALA LUMPUR – Sultan Ibrahim Iskandar menyifatkan kehadiran Ramadan kali ini membawa bersamanya suatu kelainan yang tidak pernah dirasai sebelum ini akibat pandemik Covid-19.
Menerusi Facebook rasminya, Sultan Johor bertitah, Bangsa Johor yang beragama Islam khususnya tidak dapat bertarawih dan membuat ibadah lain di masjid seperti biasa.
Manakala Bangsa Johor yang lain secara amnya pula tidak dapat menikmati bazar Ramadan yang dinanti-nantikan, titah baginda.
“Saya akui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita lalui selama ini tidak mudah untuk semua. Ada yang kehilangan orang tersayang dan terjejas pendapatannya.
“Petugas barisan hadapan mengambil risiko yang besar setiap hari, manakala peniaga pula risau bagaimana untuk terus bertahan,” demikian titah baginda.
Menurut Sultan Ibrahim lagi, ini sahajalah cara untuk memutuskan rantaian jangkitan virus itu dengan secepat mungkin.
Setelah itu barulah kita semua boleh secara perlahan-lahan meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu baginda turut meminta agar seluruh muslimin dan muslimat, dapat menggunakan bulan Ramadan ini sebaiknya untuk meningkatkan amal ibadah di rumah, bermuhasabah diri dan bertawakal kepada Allah SWT.
Baginda turut mendoakan supaya semua rakyat dikurniakan keberkatan dan kerahmatan untuk segera bangkit daripada bencana wabak yang melanda kini.
“Kepada Bangsa Johor yang bukan Islam pula, berdoalah juga dengan cara anda sendiri untuk kebaikan semua.
“Saya dan keluarga mengucapkan semua umat Islam selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak,” titah baginda. – MalaysiaGazette